
Agensi itu berkata langkah berkenaan dibuat berdasarkan keperluan dan keadaan semasa meliputi pelbagai aspek perubahan yang telah berlaku di dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi.
Menurutnya, entiti kerajaan diwajibkan menyemak semula instrumen kawal selia (termasuk pekeliling, peraturan, dan garis panduan) di bawah bidang kuasa masing-masing dalam tempoh setiap tiga tahun berdasarkan ketetapan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 berkuat kuasa 1 Dis 2025.
Selain itu, Pekeliling Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan Bilangan 1 Tahun 2025.
“Sehubungan itu, mana-mana pekeliling, peraturan dan garis panduan yang telah melebihi 20 tahun atau tidak lagi releven pemakaiannya pada masa ini sedang diberi perhatian untuk dikemaskini termasuklah berkaitan pekerjaan luar dan pemilikan saham oleh pegawai awam.
“Ia berdasarkan kepada keperluan dan keadaan semasa meliputi pelbagai aspek perubahan yang telah berlaku di dalam persekitaran kerajaan, ekonomi, perniagaan dan teknologi,” katanya dalam kenyataan.
Isu pemilikan saham membabitkan penjawat awam berbangkit susulan laporan Bloomberg yang mendakwa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Bloomberg melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham atau 1.7% dalam Velocity Capital Bhd, berdasarkan penyata tahunan syarikat pada 3 Feb tahun lalu.
Nama Azam dilaporkan masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Perkara itu didakwa melanggar pekeliling kerajaan 2024 yang menyatakan penjawat awam hanya boleh memegang saham dalam syarikat diperbadankan di Malaysia jika pegangan itu tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah.
Semalam, Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng mendesak JPA supaya tampil menjelaskan sama ada Azam melanggar peraturan berhubung had pemilikan saham itu.