
GMV merujuk kepada jumlah nilai barangan atau perkhidmatan yang dijual.
Google, Temasek serta Bain and Company dalam kenyataan bersama berkata edisi kelapan e-Conomi SEA mendedahkan Malaysia mencapai kemajuan ketara dalam rangkuman digital, dengan memperluaskan sambungan ke kawasan luar bandar untuk merapatkan jurang ketersambungan.
“Peratusan isi rumah yang mempunyai akses internet meningkat daripada 76% kepada 97% di kawasan bandar serta daripada 49% kepada 89% di kawasan luar bandar antara 2015 dan 2022,” kata mereka.
Bagaimanapun, pengguna di luar kawasan metropolitan berisiko menghadapi jurang ekonomi digital yang semakin meluas dari segi penyertaan digital iaitu penglibatan aktif dalam ekonomi digital melalui penggunaan produk atau perkhidmatan merentas sektor.
Di Malaysia, pengguna bernilai tinggi (HVU) membelanjakan 5.3 kali ganda jumlah yang dibelanjakan oleh bukan HVU dalam talian, yang mana lebih separuh daripada HVU tinggal di luar kawasan metropolitan. Ini membuktikan peluang untuk perniagaan digital berkembang wujud di luar kawasan metro seperti Kuala Lumpur dan Selangor.
Sebagai perbandingan, lebih 70% nilai transaksi ekonomi digital di Asia Tenggara dijana oleh 30% pembelanja teratas.
“Merapatkan jurang penyertaan digital adalah tanggungjawab kolektif semua pihak berkepentingan ekonomi digital.
“Menghapuskan halangan, seperti isu bekalan serta keselamatan, boleh meningkatkan penyertaan bukan HVU dan membolehkan ekonomi digital Malaysia mencapai potensi penuhnya sebanyak USD30 bilion GMV menjelang 2025,” tambahnya.