
Inisiatif itu memberi penekanan pada penggunaan kod DuitNow QR Agrobank sebagai kaedah utama pembayaran tanpa tunai, sekaligus menghubungkan komuniti dengan perkhidmatan kewangan arus perdana dan mengurangkan risiko pengendalian wang tunai.
Presiden merangkap ketua pegawai eksekutif Agrobank, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata inisiatif itu bertujuan mentransformasikan penjaja, dan memastikan penyertaan komuniti luar bandar dalam ekonomi digital.

“Semua di sini akan menggunakan kaedah pembayaran melalui transaksi digital kod QR,” ujarnya kepada pemberita selepas pelancaran Wilayah Agrobank di destinasi ekopelancongan itu, yang terkenal dengan pasar terapung.
“Ini adalah salah satu mandat Agrobank untuk membawa lebih ramai orang awam menggunakan transaksi digital yang lebih cepat, moden dan selamat.”
Di samping menyediakan kemudahan pembayaran digital, Agrobank mahu membantu usahawan di Pulau Sri Tanjung bagi membuka akaun perbankan Agrobank, selain menawarkan kemudahan pembiayaan seperti Ar-Rahnu, Hartani-i, AgroCash-i, Takaful Kasih serta pembiayaan mikro.
Tengku Ahmad percaya inisiatif ini akan memberi manfaat kepada 60 orang penjaja di Pulau Sri Tanjung, serta 450 orang nelayan di kawasan persisiran, dan 1,000 penduduk di Teluk Renjuna.
“Untuk memastikan perkembangan Pulau Sri Tanjung, Agrobank akan melaksanakan beberapa inisiatif berterusan termasuk mengenal pasti dan melantik ejen perbankan tempatan bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan kewangan untuk penduduk setempat.”

“Agrobank akan turut menyediakan khidmat nasihat kewangan yang menyeluruh kepada para nelayan, khususnya berkaitan kemudahan pembiayaan yang bersesuaian dengan keperluan mereka,” katanya.
Tengku Ahmad menambah penggunaan kod DuitNow QR Agrobank adalah sejajar dengan e-Duit Desa, inisiatif oleh Bank Negara untuk membantu penduduk dan peniaga menggunakan pembayaran secara elektronik bagi memudahkan urusan kewangan seharian.
Malini Musa, 52, yang sudah berniaga hampir 5 tahun di situ berkata penggunaan kod DuitNow QR Agrobank memudahkan urusan perniagaan yang sebelum ini menggunakan transaksi tunai.
Katanya, dia sering ditanya pengunjung sama ada kedainya ada menyediakan kemudahan pembayaran secara digital.
Seorang lagi peniaga, Nora Mohamad, 48, berkata pengunjung masa kini menggemari transaksi pembayaran tanpa tunai kerana lebih cepat dan mudah.
“Sekarang, ramai orang tidak bawa duit tunai kerana semua nak bayar guna telefon pintar sahaja,” ujarnya yang menjual aneka minuman.