
Menteri pelaburan, perdagangan dan industri itu berkata, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan pusingan kedua Program Lima Tahun Malaysia-China itu yang akan memperkukuh hubungan antara industri dalam sektor utama seperti pembuatan peringkat tinggi dan ekonomi digital.
Tengku Zafrul berkata, program itu juga akan mengeratkan lagi kerjasama dalam robotik, pembangunan usahawan, inovasi dan syarikat pemula niaga, serta penyelidikan dan pembangunan dalam pertanian dan industri utama.
Selain kerjasama ekonomi dan perdagangan, dua memorandum persefahaman (MoU) kerajaan kepada kerajaan dijangka dimeterai semasa lawatan itu, merangkumi pengukuhan kerjasama pelaburan dalam ekonomi digital serta MoU berkaitan usaha menggalakkan kerjasama pelaburan dalam pembangunan hijau.
“MoU ini akan menetapkan hala tuju syarikat dari Malaysia dan China mengenai peluang pelaburan dan perniagaan dalam pelbagai sektor,” katanya semasa melancarkan kilang pemasangan Chery Malaysia pada Selasa.