
“Alangkah baiknya kalau Hamzah berjaya pujuk pimpinannya terima tawaran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sejak hari pertama lagi (untuk bersama kerajaan perpaduan seperti titah nasihat Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah).
“Atau seperti yang dipelawa awal tahun ini, malah diulang lagi semalam, iaitu untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan berunding isu peruntukan,” katanya kepada FMT.
Fahmi yang juga ketua penerangan PKR berkata PN tidak hilang maruah atau rendah martabat jika duduk berunding sebagaimana disarankan Anwar.
“Kami juga pernah duduk berunding, akhirnya yang menang ialah rakyat juga.”
Terdahulu, Hamzah hari ini dilaporkan mendakwa orang ramai menyuarakan pendapat mereka di media sosial dengan mendakwa kerajaan pimpinan Anwar gagal menyelesaikan isu berkepentingan rakyat.
Katanya kegagalan pentadbiran kerajaan semasa, termasuk membabitkan kesilapan Anwar membentangkan Belanjawan 2024 berhubung hasil berkurangan RM4 bilion sehingga terpaksa membuat ralat.
Perpecahan PN
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Puad Zarkashi menyifatkan dakwaan Hamzah sebagai “syok sendiri” kerana beberapa PRK sebelum ini, seperti Pulai, Simpang Jeram dan Pelangai membuktikan sebaliknya.
“Lebih baik Bersatu berhenti bercakap soal ganti kerajaan. Tunggu saja PRU16. Kerajaan pintu belakang tidak akan berlaku.”
Beliau sebaliknya mendakwa Hamzah cuba menutup perpecahan dalaman PN.
“Sepatutnya Bersatu bimbang akan ada lagi Ahli Parlimen mereka yang ikut jejak Ahli Parlimen Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid) dan Labuan (Suhaili Abdul Rahman) memberi sokongan kepada perdana menteri. Bersatu di ambang perpecahan.
“PN juga semakin retak kerana perpecahan dalaman. PAS semakin menyisihkan Muhyiddin Yassin dan menganggap Dr Mahathir Mohamad lebih berpengaruh.”
Bulan lalu, Timbalan Pengerusi PN Perlis, Abu Bakar Hamzah mendakwa berlaku pergolakan dalaman PAS negeri ini membabitkan isu kefahaman agama, susun atur gerak kerja dan pentadbiran.
Dakwanya, keadaan itu menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan rakan komponen gabungan itu.
Kenyataan Abu Bakar menyusul peringatan Presiden PAS Hadi Awang supaya ahli parti tidak menjadi “penebuk kapal” untuk menjatuhkan kerajaan pimpinannya.