
Merujuk sesi pertanyaan menteri yang perlu dijawab Kementerian Luar hari ini, Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berkata menteri dan timbalan bagi kementerian itu gagal hadir untuk menjawab soalan dibangkitkan, sehingga memaksa speaker menangguhkan soalan itu kepada giliran lain.
Menurutnya, mengikut Peraturan Mesyuarat 24(1), jika menteri atau timbalan menteri tidak dapat hadir, soalan dikemukakan boleh dijawab oleh menteri dari kementerian lain.
Menteri Luar Negeri adalah Zambry Abdul Kadir manakala timbalannya Mohamad Alamin.
“Bagaimanapun, menteri yang bertanggungjawab tidak juga beri (jawapan) kepada yang lain (kementerian lain).
“Apa sebenarnya berlaku? Kenapa tidak ada susunan yang baik, tidak ada yang pantau kehadiran menteri dan timbalan untuk jawab tepat pada masanya?,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Dakwanya, rekod kehadiran menteri dan timbalan menteri yang buruk juga menunjukkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim gagal memantau kehadiran menterinya di Parlimen.
“PM ini saya tengok gagal untuk mengawal Kabinet…adakah menteri tak ‘respect’ PM atau PM tak dan (sempat) tengok menteri kerana sibuk uruskan hal lain di luar negara?” soalnya.
“Peristiwa ini banyak kali berlaku menunjukkan kerajaan hari ini tidak serius, tidak kompeten untuk selesaikan isu rakyat yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.”
Paca 25 Okt, Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasir diberi tanggungjawab menjawab mewakili Kementerian Ekonomi, soalan dibangkitkan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) mengenai Indeks Harga Pengguna yang rendah, walaupun harga barang terus meningkat.
Esoknya, Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) pula tidak puas hati apabila menteri dan timbalan menteri kesihatan tidak hadir untuk menjawab soalan dikemukakannya, sebaliknya ia dijawab Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K Saraswathy.