
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, perbelanjaan bagi Johor adalah antara yang tertinggi di negara ini, antaranya meliputi projek lebuh raya dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
“Itu semua teknikal, tidak kisah apa, rakyat pedulikah kalau wang ini daripada negeri atau wang ini daripada pusat.
“Yang penting wang sampai kepada rakyat, ini bagi saya yang penting,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah bangunan tambahan Hospital Pontian dan Karnival Rakyat Madani hari ini, lapor Bernama.
Anwar turut memaklumkan, 23 projek pembangunan fasiliti kesihatan dilaksana Kementerian Kesihatan (KKM) dengan jumlah kos keseluruhan RM2.625 bilion di Johor.
Beliau berkata demikian mengulas tuntutan hasil Johor diutarakan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi.
Terdahulu dilaporkan pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail bertitah supaya 25% hasil cukai pendapatan Johor dipulangkan semula kepada negeri ini bagi memastikan pembangunan dan kebajikan rakyat dapat ditangani lebih berkesan tanpa terlalu bergantung pada kerajaan persekutuan.
Baginda bertitah demikian susulan beberapa kelewatan mutakhir ini, termasuk isu pembukaan Hospital Pasir Gudang, gangguan sistem pagar automatik di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar serta kelewatan projek tebatan banjir.
Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan persekutuan akan terus membantu kerajaan Johor untuk meningkatkan kedudukan ekonominya.
Katanya, setiap projek yang dilaksanakan di Johor atau mana-mana negeri perlu memberi manfaat besar kepada rakyat.
“Tahniah kepada Johor yang kerjasama rapat (dengan kerajaan persekutuan). Kita bantu semaksimum mungkin untuk mengangkat kedudukan ekonomi Johor.
“Orang boleh nilai, memang betul projek besar penting … ini transisi tenaga, soal elektronik, soal transformasi kerana kita masih digital iaitu teknologi digital.
“Hal ini semua penting tetapi akhirnya yang penting itu anak di rumah … orang miskin di kampung yang mesti kita lihat dan cuba selesaikan,” katanya.
Perdana menteri turut menyeru semua pihak termasuk pegawai daerah dan pemimpin tempatan agar mengutamakan ketelusan, integriti dan keberkesanan dalam pentadbiran bagi memastikan dana yang diluluskan memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat.
“Johor mempunyai potensi luar biasa dan dengan pengurusan yang betul, negeri ini boleh mencapai kemajuan yang lebih signifikan, sambil memastikan rakyat terus mendapat perhatian dan sokongan,” katanya.