Disyaki bawah pengaruh dadah, warga asing rempuh pagar istana ditahan

Disyaki bawah pengaruh dadah, warga asing rempuh pagar istana ditahan

Warga asing terbabit dikatakan melanggar dua kereta sebelum merempuh pagar istana di Pantai Lido, Johor Bahru pagi tadi.

Seorang warga asing yang dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah merempuh pagar istana hingga rosak selepas melanggar dua kereta di Johor Bahru pagi tadi.
PETALING JAYA:
Seorang warga asing ditahan kerana dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah dan melanggar dua kereta sebelum merempuh pagar istana di Kilometer 2.3 Jalan Skudai, Pantai Lido, pagi tadi.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata kejadian pada 5.28 pagi itu melibatkan kereta jenis Audi dipandu lelaki berusia 20-an.

“Lelaki berkenaan memandu dari pusat bandar menghala ke Skudai bersama-sama dua penumpang dan apabila tiba di tempat kejadian dia gagal mengawal kenderaan di kawasan selekoh sebelum terbabas masuk ke jalan bertentangan.

“Kereta warga asing itu kemudian melanggar teksi jenis Proton Persona warna putih merah dan Perodua Aruz warna biru sebelum merempuh pagar istana di bahu jalan,” katanya lapor Sinar Harian.

Menurutnya, warga asing terbabit mengalami cedera ringan manakala pemandu teksi dan pemandu Perodua Aruz tidak cedera.

“Pagar istana mengalami kerosakan akibat pelanggaran tersebut sementara kereta warga asing tersebut terbalik.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine dan kes disiasat bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.