Wan Saiful didakwa 18 tuduhan baharu ubah wang haram

Wan Saiful didakwa 18 tuduhan baharu ubah wang haram

Bekas ketua penerangan Bersatu itu mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Wan Saiful Wan Jan sebelum ini didakwa dua pertuduhan berkaitan rasuah membabitkan projek Jana Wibawa.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan mengaku tidak bersalah atas 18 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM5.6 juta.

Bekas ketua penerangan Bersatu itu mohon dibicarakan selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin.

Menurut pertuduhan, Wan Saiful didakwa memindahkan wang yang diperoleh daripada aktiviti haram dari akaun WSA Advisory Group Sdn Bhd kepada beberapa akaun lain.

Wan Saiful sebagai pengarah syarikat itu didakwa membeli kenderaan pacuan empat roda bernilai RM78,800, memindahkan RM3.169 juta ke dalam akaun peribadi, memindahkan RM38,160 kepada Sinar Karangkraf Sdn Bhd dan juga sejumlah besar pemindahan ke akaun pihak ketiga milik individu dan syarikat.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Ogos hingga 13 Nov 2022.

Tuduhan dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Amla), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda minimum RM5 juta, jika disabitkan.

Suzana kemudian membenarkan Wan Saiful dibebaskan dengan jaminan RM400,000 daripada kes sebelum ini dan mengarahkan beliau melaporkan diri ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dua kali sebulan.

Mahkamah menetapkan 1 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Wan Saiful diwakili peguam Amer Hamzah dan K Kumaraendran manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad.

Wan Saiful sebelum ini didakwa atas dua tuduhan yang berkaitan dengan inisiatif Jana Wibawa, satu rangsangan yang diperkenalkan oleh kerajaan Perikatan Nasional ketika itu untuk membantu kontraktor Bumiputera semasa wabak Covid-19.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.