Bersatu pecat Saifuddin Abdullah

Bersatu pecat Saifuddin Abdullah

Beliau dipecat kerana langgar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang wajibkan ahli patuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.

saifuddin abdullah
Lembaga Disiplin Bersatu beri tempoh 14 hari untuk Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah merayu keputusan tersebut.
PETALING JAYA:
Bersatu memecat Ahli Majlis Pimpinan Tertingginya, Saifuddin Abdullah, berkuat kuasa hari ini.

Menurut sepucuk surat Lembaga Disiplin Bersatu bertarikh hari ini, pemecatan Ahli Parlimen Indera Mahkota itu diputuskan dalam mesyuarat semalam.

Surat itu menyatakan Saifuddin dipecat hak keahlian dalam parti kerana tindakan beliau yang melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti yang mewajibkan ahli mematuhi perlembagaan, kod etika dan tatakelakuan parti.

Bagaimanapun, lembaga disiplin memberi tempoh 14 hari berkuat kuasa hari ini untuk Saifuddin mengemukakan rayuan.

Sementara itu, Saifuddin ketika dihubungi FMT mengesahkan menerima surat berkenaan dan akan merayu keputusan tersebut.

Bekas menteri itu sebelum ini dipanggil oleh lembaga disiplin susulan gesaannya supaya Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.

Kenyataan beliau dibuat menerusi satu wawancara serta satu kenyataan bersama oleh beberapa ketua bahagian Bersatu.

Saifuddin mendakwa, Muhyiddin telah ‘kehilangan kualiti kepimpinan’ dan menggesa peletakan jawatan tokoh kanan parti termasuk Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz.

Beliau juga menggesa Muhyiddin menjelaskan sama ada menantunya, ahli perniagaan dalam buruan Adlan Berhan, benar-benar melarikan diri ke luar negara, susulan gambar Adlan yang didakwa hidup mewah di luar negara.

Saifuddin juga digugurkan daripada jawatannya sebagai ketua PN Pahang.

Susulan itu, Pemuda Bersatu menggesa tindakan disiplin segera dikenakan terhadap Saifuddin kerana mendakwa beliau ada ‘niat jahat bagi merosakkan parti’.

Bersatu pada Oktober tahun lalu turut memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana melanggar Klausa 9.1.4 Perlembagaan parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.