Kerajaan kaji undang-undang banteras edar dadah di platform e-dagang

Kerajaan kaji undang-undang banteras edar dadah di platform e-dagang

Zahid Hamidi berkata jalan tikus dan jeti haram di Perlis, Kelantan serta Kedah akan dihapuskan bagi menghalang kemasukan dadah ke Malaysia.

Zahid Hamidi berkata Akta Dadah Berbahaya 1952 perlu dipinda bagi membolehkan hukuman lebih berat terhadap pengedar dan pemilikan dadah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD) mencadangkan peruntukan undang-undang diwujudkan bagi mengawal selia semua platform e-dagang untuk membanteras pembelian dan penghantaran dadah melalui aplikasi dalam talian.

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi, yang mempengerusikan JKMD berkata kawalan lebih ketat perlu dilaksanakan dengan meminda Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membolehkan hukuman lebih berat dikenakan kepada pengedar dan pemilikan dadah.

Katanya jalan tikus dan jeti haram di Perlis, Kelantan serta Kedah akan dihapuskan bagi menghalang kemasukan dadah ke negara ini.

Beliau berkata pengukuhan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) polis juga akan diberi perhatian serius bagi memastikan ia berupaya membanteras pengedaran dadah dengan lebih sistematik dan komprehensif.

JKDM turut mencadangkan akses kepada rawatan dan pemulihan diperluaskan dengan meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 serta Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang yang Tidak Diingini 1969.

“Sekiranya akses ini dapat dilebarkan, usaha mengalihkan penagih dadah bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kepada rawatan dan pemulihan serta merawat pulih penagih bahan seperti ketum dan gam dapat dilaksanakan.

“Usaha ini secara tidak langsung dapat mengurangkan stigma dan kesan pemenjaraan kepada penagih dadah dan bahan,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat kedua JKMD pada tahun ini.

Zahid berkata pelan strategik dan komunikasi komprehensif akan disediakan untuk meningkatkan pembabitan masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam pencegahan gejala dadah.

“Penerapan daya tindak segera masyarakat dilihat berupaya memberi pencegahan awal tentang bahaya dadah kepada masyarakat dengan cara mendidik golongan berisiko melindungi diri daripada terjebak gejala dadah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.