
Beliau berkata pekebun kecil getah, pesawah, nelayan, penternak dan usahawan mikro terkesan susulan kenaikan bahan bakar yang menyebabkan kerajaan turut menanggung lonjakan subsidi daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu.

Menurut Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah, jika gangguan di Selat Hormuz berlarutan sehingga Mei atau Jun, tekanan dijangka beralih daripada peningkatan kos kepada masalah aliran tunai sebenar dalam komuniti luar bandar.
“Dalam konteks ini Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu memainkan peranan lebih strategik sebagai benteng hadapan dalam membina ketahanan ekonomi desa, bukan sekadar melaksanakan program sedia ada.
“Kementerian perlu bergerak atas tiga teras utama, iaitu menangani tekanan jangka pendek secara segera, mengurangkan kebergantungan kepada kos tenaga yang tidak stabil, serta membina sumber pertumbuhan baharu berasaskan kekuatan tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perhimpunan bulanan KKDW.
Krisis di Asia Barat yang membabitkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran sejak bulan lalu menyebabkan lonjakan harga minyak mentah kepada lebih USD100 setong yang turut memberi kesan kepada Malaysia.
Sejak konflik itu, harga diesel untuk pengguna di Semenanjung Malaysia terus meningkat dan terbaharu RM6.02 seliter bagi tempoh 2 hingga 8 Apr.