Jawab ‘sama-sama’ pun lulus, kata menteri berkait kelonggaran permohonan warganegara

Jawab ‘sama-sama’ pun lulus, kata menteri berkait kelonggaran permohonan warganegara

Warga emas tidak fasih berbahasa Melayu dibantu dengan menurunkan skor ujian penguatkuasaan bahasa kebangsaan.

Saifuddin Nasution Ismail berkata JPN terpaksa melonggarkan syarat permohonan warganegara untuk warga emas tidak fasih berbahasa Melayu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terpaksa melonggarkan syarat kelayakan memohon warganegara kepada warga emas, apabila kebanyakan mereka gagal melepasi ujian penguasaan bahasa Melayu.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail ketika mendedahkan perkara itu berkata ada warga emas yang tinggal di negara ini langsung tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa rasmi kebangsaan.

“Warga emas ini kebanyakannya gagal melepasi ujian penguatkuasaan BM, kebanyakan.

“Sekarang ni kadang-kadang yang dapat skor 2 pun saya luluskan, maknanya terima kasih dia jawab sama-sama. Itu pun lulus. Apa khabar, khabar baik… sampai kita turunkan kayu ukur sampai ke situ,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Wee Jeck Seng (BN-Tanjung Piai) yang membangkitkan proses kelulusan permohonan warganegara yang mengambil masa lama, khususnya membabitkan warga emas.

“Ada warga lama ini dia begitu fasih dengan bahasa asing sampai tidak boleh (berbahasa Melayu) langsung. Itu pun kita cuba bantu,” tambah Saifuddin.

Menjawab soalan tambahan Lo Su Fui (GRS-Tawau) mengenai dakwaan lebih satu juta penduduk Sabah tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, Saifuddin berkata angka itu tiada dalam rekod KDN.

“Angka yang Tawau sebut satu juta rakyat Sabah tiada dokumen direkodkan, saya mohon YB bantu saya selepas ini sebab sepanjang 10 bulan duduk di KDN tak pernah jumpa data ini lagi.

“Barangkali Tawau ada maklumat, boleh salur.”

Saifuddin berkata sehingga kini, KDN telah membuat keputusan sebanyak 10,381 permohonan kewarganegaraan. Bagaimanapun, beliau memperincikan jumlah yang telah diluluskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.