
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata langkah itu diambil selepas pihaknya mengesan lebih 100 kes penyalahgunaan kad pengenalan yang dilaporkan hilang, namun masih digunakan menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Katanya, punca utama insiden tersebut adalah kerana sistem JPN dan MoF ketika itu tidak diselaras, menyebabkan kad yang dinyahaktif JPN masih boleh digunakan dalam sistem lain.
“Apabila seseorang melaporkan kehilangan MyKad, kita (JPN) akan nyahaktifkan serta-merta dalam sistem. Tapi sistem SARA yang diurus MoF tidak terima maklumat itu dengan serta-merta kerana tiada penyelarasan.
“Jadi, walaupun kad itu sudah dinyahaktifkan dalam sistem JPN, ia masih aktif dalam sistem SARA menyebabkan berlaku penyalahgunaan itu,” katanya pada sidang media di JPN .
Beliau berkata, isu itu mungkin melibatkan bilangan kecil iaitu sekitar 100 kes berbanding lebih 18 juta penerima layak, namun kerajaan tidak memandang ringan perkara berkenaan.
“Bagi saya, ini bukan soal satu dua kes. Soalnya ada berlaku. Maka, kita perlu ambil langkah pembetulan,” katanya.
Saifuddin menjelaskan, penyelarasan antara dua sistem itu tidak boleh dilakukan secara sembarangan kerana ia melibatkan maklumat peribadi rakyat yang sensitif, namun dalam kes tertentu keperluan integrasi sistem menjadi sangat penting.
“Sebagai langkah ke depan, kerajaan pastikan sebarang MyKad yang dinyahaktif dalam sistem JPN selepas laporan kehilangan, akan turut disekat daripada digunakan dalam sistem MoF untuk menebus subsidi petrol BUDI95.
“Apa yang berlaku sebelum ini jadi pengajaran. Untuk BUDI95, kita tak mahu ulang kesilapan sama. Kad yang sudah tidak aktif, tidak boleh lagi digunakan sama ada untuk program SARA atau subsidi petrol,” katanya.
Mengulas kebimbangan kemungkinan ada rakyat Malaysia ‘meminjamkan’ atau ‘menjual’ MyKad kepada bukan warganegara bagi menebus subsidi petrol, Saifuddin berkata kerajaan sudah menjangka semua kemungkinan dan bersedia dengan langkah pencegahan.
“Kita tak boleh tolak kemungkinan. Tapi sebagai prinsip pelaksanaan dasar, kita pastikan sistem berjalan lancar pada hari pelaksanaannya. Pada masa sama, kita bersedia lakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan harga RON95 akan dikurangkan kepada RM1.99 seliter mulai 30 Sept bawah program BUDI95.
Beliau berkata, semua warganegara berusia 16 tahun ke atas yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati harga subsidi itu dengan pengesahan dibuat menggunakan MyKad, mekanisme sama penyaluran bantuan seperti SARA.
Katanya, setiap rakyat Malaysia layak menggunakan 300 liter RON95 sebulan, tetapi perkhidmatan e-panggilan dikecualikan had penggunaan.
Bawah sistem baharu itu, bukan warganegara dan individu tanpa kelayakan akan dikenakan harga pasaran tanpa subsidi sekitar RM2.60, lebih tinggi berbanding harga semasa, RM2.05.