
Inisiatif kerajaan yang dijangka melibatkan kos kira-kira RM714,660 itu sebagai persediaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 melalui inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95), bermula 30 Sept.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata tinjauan kira-kira 30 minit bermula 8 pagi menunjukkan kaunter JPN sudah mengendalikan 99 permohonan dan tempoh menunggu dianggap munasabah oleh pengunjung.
“Saya beritahu pegawai tadi, kalau perlu tambah masa, tambah masa. Itu pun memang amalan biasa mereka,” katanya pada sidang media di JPN selepas meninjau hari pertama program penukaran MyKad percuma.
Saifuddin turut memberi jaminan bekalan MyKad mencukupi untuk menampung permintaan sepanjang tempoh tawaran percuma itu.
“Kami di JPN akan memastikan stok kad itu mencukupi, supaya tak timbul masalah.
“Langkah ini bagi menyokong pelaksanaan dasar subsidi bersasar yang diumumkan kerajaan dan sebagai kementerian yang JPN di bawahnya, kami bertekad untuk memastikan JPN ini akan jadi ‘enabler’ penting bagi menyokong inisiatif ini,” katanya.
Semalam, Saifuddin dalam kenyataan memaklumkan JPN menerima 294,715 permohonan penggantian MyKad bawah kategori cip atau kad rosak bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu.
“Trend permohonan menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan ini iaitu Jun (32,819 permohonan); Julai (40,371); Ogos (45,411), manakala setakat 21 Sept sebanyak 22,858 permohonan.
“Berdasarkan purata dua bulan terkini, sekitar 43,000 penggantian cip rosak direkodkan setiap bulan,” katanya.