
Bagi merealisasikannya, Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mencadangkan Kementerian Kewangan (MoF) diketuai Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat kedua-dua blok untuk bersama-sama memberi pandangan menangani ketidaktentuan ekonomi global.
“Kaedah tuding-menuding bukanlah jalan keluar tapi ia mendorong negara ke arah permasalahan tanpa penghujung,” katanya di Dewan Rakyat, ketika membahaskan usul Belanjawan 2024.
“Saya mohon agar MoF untuk adakan segera perbincangan dengan semua parti agar kerajaan mahupun pembangkang dapat bersama memulihkan ekonomi kerana kebersamaan kita adalah teras kejayaan pemulihan.”
Beliau berkata “kebersamaan” antara kerajaan dan pembangkang pernah dicapai sebelum ini ketika negara menaikkan kadar hutang daripada 60% kepada 65% kepada KDNK semasa krisis Covid-19.
“Saya cadangkan kita semua lakukan perdamaian politik terhadap ekonomi ini semula,” katanya.
Pada pembentangan Belanjawan 2024 13 Okt, Anwar yang juga menteri kewangan berkata hutang dan liabiliti negara ketika ini menjangkau RM1.5 trilion atau 82% kepada KDNK, hasil daripada keterlanjuran pentadbiran lepas.
“Bayaran khidmat hutang sahaja dijangka mencatat RM46.1 bilion atau 15.2% daripada hasil 2024,” kata Anwar.