‘Langkah Umno Puchong’ tak akan melarat ke Putrajaya, kata penganalisis

‘Langkah Umno Puchong’ tak akan melarat ke Putrajaya, kata penganalisis

Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata kedudukan BN dalam landskap politik nasional berisiko terjejas jika putus hubungan di Putrajaya.

Akar umbi Umno perlu dibuktikan yang pimpinannya berjuang keras termasuk tegas dengan PH dalam kerajaan perpaduan, menurut penganalisis.
PETALING JAYA:
Kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan (PH) dijangka kekal utuh, menurut penganalisis yang menegaskan tindakan memutuskan hubungan politik perlu dibuat berhati-hati.

Merujuk tindakan Umno Puchong memutuskan hubungan dengan PH kawasan itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berpandangan tindakan serupa di peringkat kerajaan perpaduan pusat berisiko menjejaskan kedudukan Umno dalam landskap politik nasional.

Beliau berkata selain bergerak solo, BN mempunyai pilihan terhad antaranya bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau satu daripada komponen yang tercetus dengan cadangan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN).

“Bergabung dengan PN bukan jalan keluar kerana ia sedang bergolak dan hanya menambah krisis,” katanya merujuk krisis politik di Perlis serta percanggahan pendapat berkait calon perdana menteri pada PRU6.

“Pilihan paling realistik ialah kekal dalam kerajaan perpaduan tetapi lebih agresif menekan PH, supaya akar umbi melihat Umno masih berjuang.

“Jika tidak Umno berisiko hilang kuasa dan hanya menjadi penonton dalam politik nasional,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu kepada FMT.

Beliau mengulas sama ada tindakan Umno Puchong memutuskan kerjasama dengan PH boleh melarat ke persekutuan dan negeri lain.

Tindakan itu susulan kegagalan Setiausaha Publisiti DAP Yeo Bee Yin memohon maaf di atas hantaran ‘meraikan’ keputusan penolakan rayuan tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak, minggu lalu.

Dalam pada itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berpendapat keputusan Umno Puchong tidak akan memberi kesan kepada hubungan di peringkat nasional.

Beliau berkata hubungan antara kepimpinan tertinggi parti dalam kerajaan perpaduan masih kukuh, justeru isu itu dilihat lebih bersifat simbolik sebagai tanda ketidakpuasan hati terhadap tindakan Yeo.

“Tindakan itu hanya simbolik untuk Umno kekalkan pendirian, tanpa ganggu kestabilan kerajaan perpaduan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.