Undi luar bandar Umno faktor utama langkah strategik PAS, kata penganalisis

Undi luar bandar Umno faktor utama langkah strategik PAS, kata penganalisis

MN dicadang hidup semula kerana PAS harapkan pengaruh Umno dalam kalangan Melayu luar bandar, peneroka Felda, malah pengundi bukan Melayu.

Penganalisis berkata, Umno masih ada penyokong ‘deposit tetap’ dalam kalangan orang Melayu dan jentera parti lebih kukuh berbanding Bersatu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Gesaan baru-baru ini agar Muafakat Nasional (MN) dihidupkan semula datangnya daripada harapan PAS untuk memanfaatkan pengaruh Umno dalam kalangan masyarakat Melayu luar bandar dan peneroka Felda, selain keupayaannya menarik pengundi bukan Melayu melalui Barisan Nasional (BN), menurut penganalisis politik.

Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkata, PAS akan mendapat keuntungan lebih besar jika MN dihidupkan semula. Pakatan pilihan raya tersebut sebelum ini telah dibentuk oleh dua parti Melayu terbesar itu pada 2019.

Mazlan Ali.

Menurutnya, pengaruh PAS terhad di kawasan kampung dan penempatan Felda, terutamanya di negeri-negeri Pantai Barat dan selatan Semenanjung.

“Umno boleh membantu melonjakkan sokongan terhadap PAS di Melaka, Negeri Sembilan dan Johor,” katanya kepada FMT.

Beliau turut berkata, Umno mempunyai kelebihan berbanding Bersatu, sekutu parti Islam itu dalam Perikatan Nasional (PN) pada masa ini.

“Umno masih mempunyai penyokong ‘deposit tetap’ dalam kalangan orang Melayu dan jentera parti yang lebih kukuh berbanding Bersatu, yang banyak bergantung kepada jentera PAS,” katanya.

Bagaimanapun, rancangan menghidupkan semula MN mungkin berdepan jalan buntu ketika rundingan kerusi PRU akan datang, memandangkan PAS dan Umno secara tradisinya bersaing di kerusi yang sama.

Pada Sabtu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkata, partinya dan PAS perlu menggembleng usaha untuk menyatukan orang Melayu melalui MN.

Gesaan beliau untuk kerjasama semula itu menyusuli saranan Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor, yang mahu menghidupkan kembali MN menjelang PRU akan datang.

MN pada asalnya dibentuk bagi memperkukuh undi Melayu-Islam ketika Umno dan PAS masih berada di blok pembangkang. Namun, pakatan tersebut terlerai selepas PAS membentuk PN bersama Bersatu. Walaupun PAS berkeras mahu Bersatu turut menyertai MN, idea tersebut ditentang oleh Umno.

azmi hassan
Azmi Hassan.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berpendapat, usaha PAS untuk menghidupkan semula MN adalah demi kelangsungan politik, bukannya untuk mengembangkan pengaruh.

Beliau berkata, barisan kepimpinan PAS seolah-olah terdesak untuk meninggalkan PN atau Bersatu.

“Dan mereka sedar mereka perlu rakan kongsi (yang baharu),” katanya.

Azmi menambah, Umno melalui BN berupaya menarik pengundi bukan Melayu, elemen yang sangat diperlukan PAS memandangkan parti itu masih lemah dalam meraih sokongan golongan itu.

“Dari segi meraih lebih banyak undi (daripada pengundi bukan Melayu), PAS jauh ketinggalan berbanding Umno,” katanya.

Pada September, Pemuda PAS berkata, komposisi masyarakat majmuk di Malaysia meletakkan pengundi bukan Melayu sebagai penentu kemenangan di beberapa kerusi Parlimen sewaktu pilihan raya, satu hakikat yang tidak dapat dielakkan oleh parti itu.

Berhubung potensi tentangan, Azmi berkata, pemulihan MN tidak akan memudaratkan PAS kerana langkah tersebut ‘tidak akan membawa impak negatif, hanya positif’.

“Pengundi PAS sendiri tidak keberatan menyokong Umno dalam situasi ini memandangkan kedua-duanya parti politik berasaskan Melayu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.