Bekas hakim, ahli perniagaan gagal rayuan tuntut RM182,000

Bekas hakim, ahli perniagaan gagal rayuan tuntut RM182,000

Mahkamah Rayuan mendapati SPRM memenuhi semua syarat di bawah undang-undang untuk membuktikan kes.

Wang itu ditemukan dalam kamar bekas hakim Mahkamah Sesyen, Azmil Muntapha Abas ketika serbuan SPRM pada 2019.
PUTRAJAYA:
Bekas hakim mahkamah sesyen dan seorang ahli perniagaan gagal dalam rayuan terakhir untuk mendapatkan semula RM182,000 yang dilucut hak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) empat tahun lalu.

Tiga panel Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Vazeer Alam Mydin Meera, berkata Mahkamah Tinggi tidak khilaf dalam undang-undang dan fakta membenarkan kerajaan membuat perlucuthakan wang tersebut.

“Kami mendapati SPRM memenuhi semua syarat di bawah undang-undang dalam imbangan kebarangkalian untuk membuktikan kes,” kata Vazeer, yang bersidang bersama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Hakim SM Komathy Suppiah.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi juga telah mempertimbangkan versi dikemukakan kedua-dua perayu dalam membuat keputusan menolak rayuan.

Pada 23 Nov 2021, Mahkamah Sesyen membenarkan permohonan kerajaan melucut hak wang berkenaan yang didapati dalam kamar Azmil Muntapha Abas ketika serbuan dijalankan SPRM, pada 2019.

Azmil, yang ketika itu hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu, mendakwa wang itu adalah pinjaman.

Ahli Perniagaan, Leong Peng Woon, kemudian menuntut wang RM182,100 sebagai pihak ketiga.

Hakim Mahkamah Sesyen Rozillah Salleh, berkata beliau mendapati tindakan dan pernyataan Azmil dan Leong merupakan perkara difikirkan kemudian dan mereka gagal membuktikan wang terbabit adalah pinjaman.

Rozilah berkata, beliau berpuas hati dengan perlucuthakan itu hasil daripada Azmil menerima rasuah, yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM.

Permohonan perlucuthakan dibuat di bawah Seksyen 41 akta sama kerana Azmil tidak didakwa.

Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud Azmil dan Hasshahari Johari Mawi mewakili Azmil dan Leong, manakala Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal dan Fauziah Daud, mewakili pendakwaan.

Pada 2011, Azmil mempengerusikan prosiding inkues kematian Teoh Beng Hock, yang meninggal dunia ketika ditahan SPRM, pada 2009.

Beliau membuat keputusan terbuka, dengan menyatakan kematian Teoh bukan disebabkan bunuh diri mahupun dibunuh.

Mahkamah Rayuan kemudian membatalkan keputusan berkenaan pada September 2014, memutuskan kematian Teoh disebabkan jatuh, atau akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan juga mengarahkan dilakukan siasatan lebih terperinci terhadap kematiannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.