Puad gesa kerajaan, Azam jawab laporan pegangan saham

Puad gesa kerajaan, Azam jawab laporan pegangan saham

Pemimpin Umno berkata kerajaan dan ketua pesuruhjaya SPRM tidak boleh ‘sapu isu di bawah karpet’.

Puad Zarkashi
Ahli MKT Umno Puad Zarkashi mempersoalkan sama ada pegangan saham ketua pesuruhjaya SPRM yang dilaporkan itu dibenarkan bawah peraturan penjawat awam.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno menggesa kerajaan dan Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki memberi penjelasan berhubung laporan bahawa beliau memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Puad Zarkashi, berkata Putrajaya dan ketua pesuruhjaya SPRM mesti segera menjawab laporan Bloomberg itu tanpa bertangguh.

“Apakah benar? Apakah ia memang dibenarkan di bawah peraturan penjawat awam? Ini bukan kali pertama Azam Baki terlibat dalam kontroversi pemilikan saham.

“Yang ini kerajaan dan Azam Baki kena jawab segera. Jangan tangguh tangguh. Semoga ia dibangkitkan dalam parlimen. Ia isu kepentingan awam. Jangan sapu bawah karpet,” katanya di Facebook.

Bloomberg melaporkan pegangan saham Azam didedahkan dalam penyata tahunan Velocity Capital Bhd yang difailkan pada 3 Feb tahun lalu dan namanya masih tersenarai dalam daftar pemegang saham syarikat itu di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Berdasarkan harga saham syarikat pada penutupan dagangan Isnin, pegangan itu dianggarkan bernilai kira-kira RM800,000.

Pekeliling kerajaan 2024 mengenai tatakelakuan pegawai awam menyatakan penjawat awam hanya boleh memiliki saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia jika pegangan itu tidak melebihi 5% daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah.

Pegawai awam juga diwajibkan mengisytiharkan aset mereka secara berkala.

Pada penghujung 2021, Azam mencetuskan kontroversi selepas timbul dakwaan mengenai pemilikan besar saham korporatnya, yang membawa kepada desakan supaya beliau meletak jawatan.

Ketika itu, SPRM berkata urus niaga saham tersebut dibuat oleh adiknya menggunakan akaun dagangan beliau. Suruhanjaya Sekuriti kemudian menyatakan tiada bukti muktamad bahawa undang-undang sekuriti telah dilanggar.

Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM juga membersihkan Azam daripada sebarang salah laku, biarpun sebelum itu ahli ekonomi Edmund Terence Gomez meletak jawatan daripada panel berkenaan sebagai bantahan terhadap kegagalan jelas panel itu membincangkan laporan yang mengaitkan pegawai atasan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang dari PKR, Hassan Karim, berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu mengarahkan Azam bercuti atau menamatkan kontraknya susulan laporan pegangan saham berkenaan.

“Tiada pilihan lain jika Anwar benar-benar ikhlas memerangi rasuah dan salah guna kuasa hingga ke akar umbi,” kata Hassan, yang dipetik Malaysiakini.

Anwar telah melanjutkan kontrak Azam sebanyak tiga kali selepas usia persaraan wajib penjawat awam, dengan kontrak semasanya dijadual tamat pada Mei, kecuali jika dilanjutkan lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.