Dulu PN dah boleh jadi kerajaan tapi tangguh, tegas PAS

Dulu PN dah boleh jadi kerajaan tapi tangguh, tegas PAS

Naib Presiden Amar Abdullah berkata Perikatan Nasional sepatutnya sudah boleh terajui kerajaan pada PRU15 tapi ditangguhkan.

Seorang pemimpin PAS membayangkan pertembungan politik ketika ini hanya antara PN dengan DAP.
SHAH ALAM:
Seorang pemimpin tertinggi PAS menegaskan kepada perwakilan parti bahawa Perikatan Nasional (PN) sebenarnya sudah boleh menjadi pemerintah pada PRU15 namun langkah itu ditangguhkan.

Berucap di hadapan lebih 500 perwakilan di perhimpunan agung sayap ulama PAS ke-62, Naib Presiden Amar Abdullah berkata ia ditangguhkan “sementara” kerana mahu merapikan persiapan.

“Pada PRU15 sepatutnya PAS dan PN sudah boleh menerajui kerajaan namun ditangguhkan sementara bagi membolehkan persiapan dibuat lebih rapi,” katanya, di hari kedua muktamar bagin sayap-sayap parti itu.

PAS kini melaraskan perhatiannya kepada PRU16, sambil membayangkan pertembungan politik ketika ini hanya antara PN dengan DAP, kerana pengaruh parti lain semakin menurun.

“Ramai yakin pada PRU16 akan menjadi masa terbaik kepada PAS dan PN untuk kembali menerajui pentadbiran negara,” kata Amar.

Beliau maklum perasaan kecewa apabila PN tidak menjadi kerajaaan pada PRU lalu, namun mengingatkan perwakilan bahawa PAS kini dalam keadaan yang “terlalu hampir dengan kuasa”.

“Saya yakin pada PRU akan datang nanti, kita akan jadi kerajaan yang kukuh di Putrajaya. Kita sepatutnya menang pada PRU lepas, tetapi ada hikmah yang tersembunyi,” tegasnya.

Dalam pada itu, Amar menyeru sayap ulama PAS supaya terus mendalami dan menguasai ilmu bagi mengubah persepsi masyarakat yang masih menganggap mereka hanya tahu bercakap soal halal dan haram.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.