
Ketua Penerangan Pemuda, Mohamad Azhar Sudin, berkata krisis berlaku hujung tahun lalu diakui mungkin memberi kelebihan kepada Umno pada PRU16 jika digunakan sebaik mungkin dengan mengatur strategi khas.
“Krisis PN di Perlis satu peluang kukuh tapi perlu ambil pendekatan lebih sesuai supaya dapat diterima rakyat atau pengundi.
“Umno patut bergerak solo dan ambil kesempatan dengan apa yang berlaku di PN Perlis untuk menang sekurang-kurangnya lapan DUN,” katanya kepada FMT ditemui di tepian Perhimpunan Agung Umno 2025, baru-baru ini.
Di sebalik kerusi PAS lebih banyak, krisis PN di Perlis menyebabkan kerusi menteri besar disandang Adun Sanglang Shukri Ramli daripada parti itu kini berubah kepada wakil Bersatu.
Adun Kuala Perlis, Abu Bakar Hamzah, mengangkat sumpah sebagai menteri besar menggantikan Shukri yang meletak jawatan 25 Dis lalu atas faktor kesihatan.
Bagaimanapun, sebelum itu lapan Adun PN termasuk tiga daripada PAS dikatakan menandatangani akuan berkanun (SD) menarik balik sokongan terhadap Shukri.
Penarikan sokongan Adun terbabit dikatakan menggugat majoriti mudah Shukri di DUN, yang dikuasai PN untuk terus menjadi menteri besar.
PAS menghentikan kealian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) manakala Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan mengumumkan pengosongan kerusi terbabit.
Ketika kritikan terhadap Bersatu oleh segelintir pemimpin PAS, Presidennya Muhyiddin Yassin meletak jawatan pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan lalu, dan kerusi itu belum diisi sehingga kini.
Mengulas lanjut, Azhar berkata dalam keadaan sekarang Umno seharusnya lebih fokus bertanding solo dalam berdepan PAS di negeri ditadbir yang dikenali SG4, selain Perlis PAS turut menguasai Kedah, Terengganu dan Kelantan.
“Di negeri ini lawan sebenar Umno adalah PAS bukan Pakatan Harapan (PH),” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Umno Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, turut senada yang parti perlu bertanding secara solo di negeri SG4.
“Saya juga harap pimpinan pusat Umno beri perhatian kepada negeri SG4, kita berada dalam keadaan letih kerana tiada kuasa di negeri selain usaha tidak cukup untuk bawa agenda kerajaan perpaduan.
“Kita di Kedah sekarang kosong (tiada kerusi Umno) dan mungkin tak jadi keutamaan untuk tawan semula (negeri)…kepimpinan seolah-olah lebih fokus untuk ambil negeri lain,” dakwanya.
Menurutnya, Kedah jika tidak dibantu berisiko menjadi seperti Kelantan yang ditadbir untuk jangka panjang oleh PAS.
“Perlu ada keazaman politik seperti contoh dari segi kepimpinan, buat perubahan kerana tiada apa yang merugikan kita,” katanya.