
Ketua Umno Sepanggar, Yakub Khan, berkata parti itu yang mengetuai cabaran Barisan Nasional (BN) bergerak solo pada PRN 29 Nov lalu atas keyakinan menang banyak kerusi untuk menjadi dominan atau membentuk kerajaan.
Namun, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno itu berkata keputusan di peti undi menunjukkan sebaliknya dan BN hanya menjadi pelengkap kepada kerajaan diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditentangnya pada PRN.
“Selepas PRN Umno Sabah perlu menilai semula struktur parti dan mencari rakan kerjasama boleh dipercayai, diyakini serta ikhlas,” katanya kepada FMT tanpa menjelaskan siapa rakan kerjasama sesuai untuk gabungan itu.
Beliau mengulas sama ada Umno Sabah akan mencari rakan kerjasama pada PRU16 untuk mempertahankan enam kerusi Parlimen disandangnya.
“Dinamik politik sekarang susah diramal, hari ini kawan esok jadi lawan, ada jadi lawan (hari ini), esok jadi kawan,” katanya merujuk pembabitan BN dalam kerajaan Sabah dipimpin Pengerusi GRS Hajiji Noor.
Malah, menerusi sekretariat kerajaan perpaduan Sabah, parti di bawahnya berkempen untuk calon BN yang berdepan Warisan pada PRK Lamag dan Kinabatangan, 24 Jan ini.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang Bung Moktar Radin pada 5 Dis lalu.
Pada PRU15, BN yang ketika itu bekerjasama dengan GRS menang tujuh kerusi Parlimen iaitu Kinabatangan, Putatan, Beaufort, Libaran, Kalabakan, Kimanis dan Pensiangan.
Berdasarkan keputusan PRN tahun lalu, lima kerusi BN kecuali Kinabatangan berisiko besar hilang pada pilihan raya akan datang tanpa gabungan dengan mana-mana parti.
Pada Perhimpunan Agung Umno minggu lalu, Setiausaha Agung Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan jurang besar antara jumlah ahli Umno dengan undi sebenarnya diterima parti itu dalam PRN Sabah.
Katanya, Umno memasuki PRN Sabah dengan penuh keyakinan memandangkan parti mempunyai lebih 622,637 ahli di negeri itu namun akhirnya hanya berjaya memperoleh 144,584 undi.
Mengulas lanjut, Yakub berkata pelbagai perkara perlu diperhalusi dalam menentukan hala tuju Umno Sabah pada PRU16 termasuk rakan kerjasama antaranya mekanisme.
“Ia berdasarkan siapa rakan kita, contoh dengan Pakatan Harapan (PH) cara kerjasamanya berbeza dengan parti lain,” katanya.