Umno boleh menang lebih 40 kerusi jika bersama PN, kata pemimpin PAS

Umno boleh menang lebih 40 kerusi jika bersama PN, kata pemimpin PAS

Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata ia mampu menawarkan Umno laluan lebih realistik berbanding kerjasama berterusan dengan PH.

Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata kerjasama dengan PN boleh meningkatkan peluang Umno dengan ketara di peti undi.
PETALING JAYA:
Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata Umno berpotensi memenangi lebih 40 kerusi Parlimen pada PRU16 sekiranya parti itu meneruskan cadangan ‘kolaborasi agung’ dan ‘Rumah Bangsa’ bersama Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata Umno hanya memenangi 26 kerusi pada PRU15, namun berpendapat kerjasama dengan PN mampu meningkatkan peluang parti itu dengan ketara.

Fadhli mengakui bahawa keputusan pilihan raya bukan sekadar soal pengiraan asas matematik semata-mata, namun corak pengundian menunjukkan penyokong PN mampu memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN).

“Jika ‘Kolaborasi Agung’ dan ‘Rumah Bangsa’ yang digagaskan oleh presiden Umno ialah bersama PN, dengan mudah sahaja Umno sudah boleh menambah 10 kerusi di dalam pilihanraya umum yang akan datang,” katanya.

Pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2025 pada 17 Jan lalu, Presiden Umno Zahid Hamidi, mendedahkan perancangan untuk menyatukan semua parti berteraskan Melayu dan Islam di Malaysia menerusi konsep ‘kolaborasi agung’ atau “Rumah Bangsa”.

“Walaupun kira-kira pilihanraya tidak seperti kira-kira asas matematik, tetapi sudah difahami dengan jelas bahawa pengundi PN boleh mengundi BN seperti yang berlaku di siri-siri PRK selepas PRU2018,” kata Fadhli.

Beliau memetik contoh yang berlaku pada PRK Cameron Highland dan Tanjung Piai.

Fadhli turut menyorot beberapa kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) pada PRU15, di mana Umno berada di tempat kedua dan berpotensi menang sekiranya undi PN digabungkan.

“Jika disorot kerusi-kerusi yang dimenang oleh PH di mana kedudukan Umno di tempat kedua dan akan menjadi pemenang jika dijumlahkan dengan undi Perikatan Nasional. Umno dengan mudah sekali akan memenangi 10 kerusi tambahan,” katanya sambil menyenaraikan kerusi Lembah Pantai, Kuala Selangor, Sungai Buloh, Hulu Langat, Sekijang, Ledang, Sri Gading, Alor Gajah, Hang Tuah Jaya dan Johor Bahru.

Menyatakan Johor Bahru sebagai contoh, Fadhli berkata calon PH menang dengan 43,252 undi, manakala calon Umno memperoleh 27,211 undi dan calon PN 22,075 undi.

“Jika digabungkan, Umno dan PN akan memperoleh 49,286 undi, sekali gus mengatasi PH dan memenangi kerusi tersebut bagi gabungan itu,” katanya.

Fadhli berkata dalam rundingan pembahagian kerusi, kawasan Parlimen yang menyaksikan Umno berada di tempat kedua sewajarnya diberikan kepada parti itu untuk ditandingi.

Beliau turut menyatakan beberapa kerusi yang ditandingi parti komponen BN berpotensi dimenangi menerusi kerjasama sedemikian.

“Dalam konteks BN, kerusi Bentong dan Labis yang ditandingi oleh MCA dan kerusi Sungai Siput yang ditandingi oleh MIC sangat berpeluang untuk dimenangi kerana parti-parti komponen BN itu berada di tempat kedua selepas PH,” katanya.

Menurutnya, pengiraan itu belum mengambil kira kerusi-kerusi lain yang kalah dengan perbezaan sedikit.

“Ini belum mengambil kira kerusi-kerusi yang dimenangi oleh PH dan PN di tempat kedua namun hanya meninggalkan BN dengan perbezaan yang sedikit yang tentu sekali terbuka kepada perbincangan untuk ditandingi,” katanya.

Menyifatkannya sebagai kira-kira mudah, Fadhli berkata masih banyak faktor lain yang boleh mempengaruhi pengundi.

Bagaimanapun, katanya, kira-kira tersebut memadai sebagai asas perbincangan mengenai pembentukan gabungan politik.

Mengulas pandangan bahawa kerjasama PH-BN mampu memberikan kemenangan lebih besar, Fadhli mempersoalkan sama ada pengundi akan terus menerima pakatan sedemikian.

“Adakah pengundi BN secara keseluruhan boleh menerima gabungan PH pada PRU16 nanti? Penolakan ini telah pun ditunjukkan dalam PRN enam negeri pada 2023, apabila sebahagian pengundi BN menolak idea kerjasama PH-BN,” katanya sambil menambah bahawa pengundi BN lebih cenderung kepada kerjasama dengan PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.