
Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata gabungan itu akan memberikan tumpuan mempertahankan kerusi Parlimen Kemaman dalam PRK pada 2 Dis.
“Dalam waktu yang sama, komponen parti dalam PN juga sedang sibuk menguruskan mesyuarat agung tahunan parti di peringkat cawangan, bahagian dan nasional,” katanya dalam kenyataan.
Selain PN, PKR Sarawak turut memutuskan tidak bertanding pada PRK DUN Jepak pada 4 Nov ini.
PKR Sarawak membuat keputusan itu bagi menghormati mandat rakyat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada PRN 2021.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandang Talib Zulpilip pada 15 Sept lalu.
Talib merupakan Adun Jepak selama lima penggal, dengan kemenangan terakhirnya pada PRN 2021 di mana calon GPS itu meraih majoriti 6,277 undi.
Hari penamaan calon PRK Jepak ditetapkan pada 21 Okt ini, manakala pengundian awal pada 31 Okt nanti.