Jurang dan peluang berbilion ringgit dalam industri logistik

Jurang dan peluang berbilion ringgit dalam industri logistik

Sungguhpun e-dagang melonjakkan industri logistik di bandar, kawasan pedalaman masih terpinggir.

Perkhidmatan logistik pihak ketiga (3PL) memperluas pasaran untuk perniagaan, menjana peluang pekerjaan buat rider dan driver, dan memberi kemudahan beli-belah dalam talian kepada pelanggan.
PETALING JAYA:
Sebelum bermulanya pandemik Covid-19, Ryan Fun dan Elsie Fun gigih mengusahakan bengkel seni dan jurnal.

“Bila pandemik melanda, kami hilang segalanya,” kata Ryan kepada FMT Business.

Pasangan adik-beradik ini kemudian beralih arah, menghasilkan alat tulis buatan sendiri seperti cap getah dan pelekat unik. Maka lahirlah Elsiewithlove.

Mereka terpaksa bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan logistik pihak ketiga (3PL). Langkah tersebut bukan sahaja membuahkan hasil, malah berjaya memajukan perniagaan mereka.

Elsiewithlove merupakan antara dua juta penjual warga Malaysia di Shopee.

“Kami berjaya menembusi pasaran antarabangsa menerusi platform ini. Kini, produk kami dipasarkan di 24 rangkaian niaga di seluruh dunia,” katanya.

Lazada dan Shopee adalah syarikat gergasi e-dagang yang turut menyediakan perkhidmatan 3PL, khususnya bagi menyelesaikan masalah penghantaran dihadapi kebanyakan perusahaan kecil dan sederhana di negara ini.

Manfaat untuk semua

Selain usahawan seperti Ryan dan Elsie, manfaatnya turut dinikmati orang lain. Contohnya Amir Syahmi, mahasiswa yang amat bergantung pada perkhidmatan e-dagang tersebut.

Amir adalah salah seorang daripada 100,000 rider p-hailing di Malaysia yang kebanyakannya berusia bawah 30 tahun, berperanan menghantar pesanan dibuat dalam talian.

3PL memberinya ruang dan peluang untuk mencari pendapatan.

“Banyak yang saya kena belanjakan sebagai pelajar. Pendapatan sampingan ini saya gunakan untuk petrol, buku dan makan minum,” katanya.

Potensi besar

Syarikat logistik pihak ketiga memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi. Ia bukan sahaja melancarkan perjalanan e-dagang, menjadi penghubung antara penjual dan pelanggan, malah membuka peluang ekonomi, terutama kepada masyarakat luar bandar.

Menurut Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (Mida), sektor logistik menyumbang 3.8% daripada KDNK negara pada 2019. Segmen 3PL pula merupakan salah satu kategori logistik.

Pertumbuhan ekonomi digital yang digerakkan oleh inisiatif kerajaan seperti Jendela dan penyediaan perkhidmatan 5G dijangka merancakkan lagi permintaan untuk perkhidmatan 3PL.

Statista, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pengumpulan data menganggarkan pasaran 3PL di Malaysia akan mencecah RM18.2 bilion tahun ini dan akan meningkat kepada RM20.2 bilion menjelang 2027, pada kadar pertumbuhan tahunan 2.67%.

Penganalisis logistik di Sunway University, Stella Ong, pula menekankan betapa pentingnya kerjasama antara semua pihak berkepentingan dalam bidang inovasi bagi menyokong pertumbuhan industri ini.

“Kini, pengendali gerai makan sekalipun sanggup mempelajari platform yang ada. Mereka berani mencuba kerana sedar ia boleh membawa keuntungan lebih tinggi. Mereka juga berpeluang menambah bilangan pelanggan dan membuat penghantaran lebih jauh,” kata Stella.

Menurut Stella, kerajaan boleh membantu dengan memperkenalkan polisi dan strategi yang konsisten lagi berkesan untuk menyokong pertumbuhan 3PL. Antaranya ialah seperti meningkatkan kualiti jalan raya dan prasarana lain yang membolehkan syarikat logistik tiba ke kawasan sebelum ini tidak dapat diakses.

Jurang dalam industri

Menurut seorang pakar yang tidak mahu dikenali, industri 3PL masih belum mencapai tahap sepatutnya.

Beliau berpendapat, jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia, masih banyak kawasan luar bandar di Sabah dan Sarawak tidak dapat dicapai disebabkan kekurangan prasarana.

Bagi Marina Noordin yang menetap di Seremban, membeli barang dalam talian sungguh mudah.

“Saya tak perlu ke kedai untuk membeli pakaian atau makanan,” katanya.

Marina menambah, beliau menggunakan perkhidmatan ini hampir setiap hari.

“Saya hanya perlu membuat pesanan dengan beberapa klik sahaja dan barang akan dihantar di depan rumah.”

Berbeza pula dengan apa dilalui Claudia Vica. Tiada perkhidmatan penghantaran di desanya, iaitu Kampung Sutong yang terletak kira-kira 10km dari Sri Aman, Sarawak.

“Saya terpaksa ke pejabat pos di bandar, sejauh 10km untuk mengambil barangan yang dipesan. Memang leceh. Perkhidmatan penghantaran makanan? Lagilah tak ada,” katanya.

Di sebalik kesukaran ini, ada penyelesaiannya bagi pakar industri.

“Jurang sedia ada boleh dirapatkan, namun ia bergantung kepada polisi kerajaan. Prasarana perlu ditingkatkan bagi menampung peningkatan permintaan daripada pihak pengguna dan PKS,” tambah sumber itu lagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.