
Dalam jangka pendek, STR dan Sara akan meningkatkan perbelanjaan pengguna dan membantu ekonomi berkembang lebih luas.
“Golongan berpendapatan rendah lebih cenderung menjadi pengguna, bermakna mereka membelanjakan sebahagian besar bantuan tunai,” kata Geoffrey Williams kepada FMT apabila ditanya mengenai keberkesanan skim bawah Belanjawan 2024.
“Ini menambah penggunaan kepada ekonomi secara keseluruhan, terutama kepada perniagaan tempatan dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana ia kebanyakannya dibelanjakan dalam negara.”
Dengan lebih banyak kegiatan perniagaan dilaksanakan dan hasil dijana, perusahaan Malaysia boleh menaikkan gaji.
Pada 2024, kerajaan memperuntukkan RM10 bilion dan RM700 juta masing-masing bawah skim STR dan Sara.
STR memberi manfaat kepada 60% populasi dewasa di Malaysia, tetapi rakyat yang tidak layak mendapat bantuan itu sebaliknya memperoleh manfaat daripada limpahan ekonomi.
Institut Penyelidikan Khazanah sebelum ini menganggarkan setiap RM1 daripada pindahan tunai itu menjana RM2.52 lebih dalam ekonomi. Pindahan tunai menerusi Belanjawan 2024 diterjemahkan kepada RM27 bilion yang dianggarkan disalur kembali kepada perniagaan dan ekonomi Malaysia yang lebih luas.
Namun, menurut Williams, pindahan tunai mesti diagihkan dengan berkesan untuk meraih manfaat sosioekonomi jangka pendek dan panjang.
Program seperti STR dan Sara memindahkan wang kepada golongan berpendapatan rendah, masing-masing pada setiap suku tahun dan secara bulanan. Pindahan secara berkala, bukan sekali gus, lebih berkesan untuk pertumbuhan dan pembangunan ekonomi.
“Bayaran bulanan menyelaraskan pendapatan serta menggalakkan perbelanjaan biasa dan corak simpanan yang serupa dengan gaji biasa,” katanya.
“Sebagai contoh, jika anda dapat RM200 sebulan, anda berkemungkinan besar memasukkan RM20 ke dalam akaun KWSP. Tetapi jika anda dapat RM1,000 sekali gus sebelum musim cuti, anda berkemungkinan besar menghabiskan semuanya.”
Pertingkat mobiliti sosioekonomi
Selain penggunaan, STR dan Sara meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan pendapatan dengan menyediakan jaminan kewangan lebih besar bagi rakyat.
Dalam jangka pendek, pindahan tunai meringankan impak inflasi atau peningkatan kos sara hidup bagi golongan B40 dan miskin, terutama miskin tegar.
Pindahan tunai turut mengurangkan kemiskinan secara langsung, menurut Williams.
“Malah, satu-satunya cara untuk memulakan pengurangan kemiskinan adalah dengan meningkatkan pendapatan terlebih dahulu.”
STR dan Sara juga menyediakan lebih banyak wang untuk dibelanjakan bagi pendidikan, penjagaan kesihatan dan aset lain yang boleh membantu rakyat memperoleh lebih banyak pendapatan serta kemahiran.
“Jika seseorang itu sangat miskin, mereka perlu bekerja lebih masa untuk menampung kehidupan, lalu tiada masa atau wang untuk meningkatkan kemahiran,” katanya.
“Pindahan tunai memberikan lebih banyak ruang dari segi kewangan untuk mereka membuat perancangan jangka panjang dan meningkatkan kemahiran atau bertukar kerja.”
Apabila kemiskinan dapat dikurangkan, daya pengeluaran juga dapat ditingkatkan dalam jangka panjang. Hal ini mampu meletakkan ekonomi Malaysia pada kedudukan lebih baik dalam jangka panjang, kerana daya pengeluaran penting untuk pertumbuhan ekonomi.
“Daya pengeluaran ialah nilai ekonomi setiap orang atau setiap jam bekerja. Jika ini bertambah baik, anda mendapat nilai tambah lebih tinggi, iaitu definisi pertumbuhan ekonomi sebenar,” kata Williams.