
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon, berkata banyak perubahan dapat dilihat terhadap kemudahan pendidikan terutama di pedalaman Sabah dan Sarawak.

“Ini memberi suasana positif buat guru dan murid, bantuan awal persekolahan (BAP) juga bantu ibu bapa sedia keperluan pendidikan anak masing-masing.
“Pendek kata banyak yang dirancang telah dilaksanakan,” katanya kepada FMT sambil berharap Belanjawan 2025 bakal dibentang petang ini memfokuskan kepada tambah baik bilik guru atau kantin sekolah.
Belanjawan 2024 dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan menyaksikan Kementerian Pendidikan (KPM) diperuntukkan RM58.7 bilion berbanding RM55.2 bilion tahun sebelumnya membuktikan komitmen kerajaan memperkasa sektor pendidikan.
Sebanyak RM1.9 bilion untuk menyelenggara sekolah di seluruh negara dengan RM930 juta daripadanya diperuntuk untuk menaik taraf prasarana daif melibatkan 450 sekolah merangkumi 185 projek di Sarawak dan 155 di Sabah.
Manakala, RM1 bilion pula diperuntukkan untuk menyelenggara semua jenis sekolah termasuk pendidikan khas dengan tumpuan keperluan murid autisme.
Menerusi Belanjawan 2024 juga, jumlah peruntukan BAP dinaikkan kepada RM788.1 juta berbanding RM450 juta tahun sebelumnya.
BAP bernilai RM150 diberikan kepada warganegara dari Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf, bersekolah di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan; sekolah agama; sekolah swasta berdaftar dengan kerajaan; Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, sekolah integriti, dan Sekolah Henry Gurney.

Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Mohamad Ali Hassan, berharap kerajaan meneruskan subsidi pendidikan untuk pelajar kurang berkemampuan.
“Selain itu terus tambah baik kemudahan di sekolah terutama luar bandar dengan menambah asrama.
“Ini bagi memastikan pelajar luar bandar tidak ketinggalan, bantuan buku serta makanan tambahan sebaiknya dilaksanakan kepada kelompok sasaran,” katanya.