Membangunkan ekonomi inklusif

Membangunkan ekonomi inklusif

Belanjawan 2024 menumpukan usaha merangkumkan kelompok masyarakat paling rentan dalam dasar arus perdana.

Ekonomi yang inklusif ialah objektif diperlukan bagi mana-mana negara. Ini terutamanya penting di Malaysia yang masyarakatnya terdiri pelbagai kumpulan dan komuniti.

Perhatian khusus mesti sentiasa diberikan kepada komuniti paling rentan. Ahli falsafah John Rawls menegaskan, masyarakat yang adil harus sentiasa memberi pertimbangan sewajarnya kepada kelompok masyarakat paling kurang bernasib baik.

Perkara ini menjadi tumpuan Belanjawan 2024 yang berusaha memastikan kelompok masyarakat paling kurang bernasib baik tidak terabai dalam dasar arus perdana.

Terdapat dua aspek dalam usaha membina ekonomi inklusif. Pertama ialah aspek sosial iaitu memastikan semua lapisan masyarakat tidak diabaikan. Perkara ini penting atas dasar moral.

Aspek kedua dibina atas hujah ekonomi. Permintaan agregat untuk barangan dan perkhidmatan adalah berdasarkan permintaan daripada semua kumpulan.

Permintaan yang rendah untuk barangan dan perkhidmatan daripada kumpulan tertentu bermakna, jika kumpulan ini diberi lebih banyak sumber, mereka boleh menyumbang lebih banyak kepada permintaan agregat. Apabila kumpulan tertentu diabaikan, permintaan agregat tidak berada pada tahap terbaik.

Dari segi itu, Belanjawan 2024 mempamerkan komitmen Malaysia yang tidak berbelah bahagi dalam usaha memupuk ekonomi inklusif.

Belanjawan 2024 melakukan usaha besar untuk mempertingkatkan komuniti paling rentan di negara ini, terutama kumpulan pendapatan B40 dan M40.

Dua inisiatif utama dari segi ini terdiri Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).

Penting untuk diberi perhatian bahawa STR dan Sara diwujudkan bukan sahaja untuk mengurangkan tekanan kewangan jangka pendek tetapi untuk memastikan terdapat rangkuman ekonomi yang mampan.

Menerusi STR, wang tunai diberikan secara langsung kepada isi rumah berpendapatan rendah, khususnya menyasarkan golongan B40 yang mempunyai sumber terhad dan memerlukan sokongan kerajaan.

Mudah untuk kita katakan, mereka seharusnya menjadi usahawan, tetapi dengan tidak banyak sumber tersedia untuk mereka, usaha itu di luar jangkauan.

Pada 2024, kadar maksimum STR meningkat kepada RM3,700, daripada RM3,100 tahun lalu. Kadar itu dinaikkan bagi mengikuti perkembangan kos sara hidup yang lebih tinggi dan untuk mengimbangi inflasi.

Belanjawan 2024 memperuntukkan RM10 bilion bawah skim ini untuk membantu kumpulan sasar menampung kos sara hidup penting mereka dari segi makanan, pendidikan dan penjagaan kesihatan. Peruntukan yang tinggi itu juga mencerminkan komitmen kerajaan untuk menyediakan bantuan kewangan kepada golongan rentan.

Sara, yang bertujuan melengkapi STR, ialah program bantuan tunai bagi keluarga miskin dan berpendapatan rendah, dikreditkan melalui kad pengenalan dan membolehkan mereka membeli barangan keperluan di pasar raya dan kedai runcit terpilih di seluruh negara.

Kerajaan juga memperuntukkan RM200 juta untuk meneruskan pelaksanaan inisiatif Payung Rahmah, termasuk Jualan Rahmah dan Pasar Rahmah.

Bawah program ini, insentif  diberikan kepada 1.2 juta pengusaha pasar borong, pasar malam dan pasar tani.

STR dan Sara menyediakan sokongan yang sangat diperlukan bagi kumpulan paling rentan dari segi kewangan. Kedua-dua program ini membantu mereka menampung beban kenaikan kos sara hidup melalui bantuan tunai langsung dan pemberian subsidi bagi barangan keperluan.

Peka terhadap keperluan B40, kerajaan atas belas ihsannya menaikkan kadar Sara daripada RM600 kepada RM1,200.

Bukan sahaja RM1,200 merupakan jumlah yang lebih munasabah dalam keadaan semasa, ia juga lebih banyak membantu melegakan kesulitan dihadapi oleh B40.

Inisiatif ini juga mewujudkan peluang mobiliti menegak menerusi pendidikan dan keusahawanan. Ini jelas dilihat dalam skim Payung Rahmah, Jualan Rahmah dan Pasar Rahmah, yang melibatkan B40 dan M40 dalam perniagaan kecil dan sebagai usahawan mikro.

Bantuan dan pendapatan yang dijana daripada perniagaan membantu orang ramai menghantar anak mereka ke sekolah dan mengikuti program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) yang disediakan untuk mendorong mobiliti menegak. Hanya penyelesaian jangka panjang mampu mencipta laluan yang mampan ke arah kehidupan lebih baik.

STR dan Sara tertumpu terutama pada kumpulan B40, selain kelompok terendah M40 juga berhak mendapat STR. Memandangkan 60% orang dewasa di Malaysia terangkum bawah program bantuan tunai ini, kuasa belanja majoriti rakyat mendapat dorongan, meningkatkan permintaan agregat secara berkesan.

Ini akan mempunyai kesan riak, yang manfaatnya akan dinikmati oleh golongan M40. Penggunaan yang lebih tinggi oleh B40 akan mengekalkan guna tenaga, yang akan memberi manfaat kepada golongan M40 bekerja dalam sektor yang mengeluarkan hasil dibeli oleh B40.

Secara keseluruhannya, strategi diwujudkan untuk membangunkan ekonomi inklusif berguna dalam usaha menuju ke arah masyarakat yang lebih adil dan saksama.

Kesan segera daripada program ini adalah meringankan kesan negatif kos sara hidup yang tinggi, tetapi kesan jangka panjangnya adalah mengurangkan ketidaksamaan pendapatan, mewujudkan peluang mobiliti menegak dan membantu mencapai kemakmuran jangka panjang.

 

Shamsul Nazir ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.