Sifu kewartawanan sukan buat obor legenda terus menyala

Sifu kewartawanan sukan buat obor legenda terus menyala

Empat bekas wartawan telah mencipta sesuatu yang sangat menghubungkan, penuh keinsanan dan segemilang sukan melalui acara yang dipanggil Sports Flame.

Bekas wartawan sukan (dari kiri) Lazarus Rokk, Fauzi Omar, George Das dan R Velu.
PETALING JAYA:
Ketika mengepalai perbualan mengenai sukan sejak beberapa dekad lalu, empat wartawan akhbar ini telah mengorak langkah dan tidak menoleh ke belakang lagi.

Tetapi, tanpa sokongan atlet, jurulatih dan pegawai, George Das, R Velu, Lazarus Rokk dan Fauzi Omar mengakui tugas mereka membuat liputan mungkin perlahan.

Berdasarkan kepercayaan, pelopor sukan menjadi kawan, dengan setiap mereka mempunyai minat masing-masing.

Bersama-sama, mereka membantu membina sentimen kebangsaan, membuatkan orang ramai berasa dekat dengan tujuan dan kebanggaan yang sama.

Legenda bola sepak (dari kiri) Chow Chee Keong (penjaga gol), Soh Chin Ann (pertahanan) dan Santokh Singh (pertahanan) di edisi ketiga Sports Flame.

Persahabatan inilah yang mencipta sesuatu yang sangat erat, penuh keinsanan dan gemilang sukan melalui satu majlis yang dipanggil ‘Sports Flame’.

Majlis ini berkisar untuk mengimbau semula kegembiraan wartawan berkenaan ketika menulis mengenai suri-suri teladan dari 1960-an, 1970-an dan awal 1980-an.

“Ia seperti busur panah yang daripadanya kerjaya kami dilancarkan, dan tanpanya, kami tidak akan mempunyai pekerjaan untuk dilakukan,” kata Das.

Das berkata Sports Flame juga adalah mengenai rasa bangga mencapai impian di peringkat tertinggi, mengharungi cabaran yang datang bersamanya, dan membawa kegemilangan kepada Malaysia.

Bekas pelari 400m lari berpagar kebangsaan P Selvarani (kiri) bersama bekas jaguh rally Hanifah Yoong Yin Fah mewarnai edisi keempat Sports Flame.

Sports Flame, yang mula mengimbau nostalgia pada 2011, dan edisi terbarunya disokong oleh FMT, akan diadakan di Hotel Concorde Kuala Lumpur pada 9 Disember ini.

Kira-kira 120 nama-nama besar, yang kebanyakannya kita tidak dengar, tidak lihat, dan tidak baca tentangnya, akan menghadiri satu majlis yang luar biasa, terikat oleh kecintaan mereka terhadap sukan dan satu sama lain.

Menyalakan obor

Sports Flame adalah satu idea diusulkan Velu kepada Das selepas pemergian legenda hoki dan pentadbir sukan terbilang, Ho Koh Chye, yang ulang tahun kematiannya yang ke-15 ialah pada 3 Disember.

Apa yang asalnya satu perjumpaan makan malam 10 personaliti sukan berbeza setiap bulan telah berkembang menjadi tujuh edisi tahunan yang santai, mesra dan menyelesakan.

Ia melibatkan kira-kira 100 ikon, termasuk beberapa nama terkenal dalam kalangan peminat tempatan dari Singapura, Indonesia dan India.

Fauzi menyimpulkan: “Tujuannya ialah untuk mengimbau kenangan paling berharga bekas-bekas atlet negara dari era 60-an hingga awal 80-an. Selepas berfikir lebih mendalam, akhirnya kami buat keputusan untuk menghimpunkan kira-kira 100 personaliti sukan dalam satu majlis tahunan.

“Kami ingin berkongsi keterujaan kami menulis tentang jaguh-jaguh sukan ini sepanjang kami bergiat dalam bidang ini. Tanpa mereka siapalah kami, lebih-lebih lagi selepas segala kejayaan yang dikecapi untuk negara, mereka ini umpama golongan yang dilupakan.”

Bahagian yang menyeronokkan adalah apabila rakan sepasukan dan pesaing bertemu selepas sekian lama, dengan beberapa daripada mereka memakai blazer lama dari Sukan Olimpik, Sukan Asia dan hoki Piala Dunia 1975 di Kuala Lumpur.

Musuh dalam hoki Piala Dunia 1975, R Pathmarajah (kiri) dan S Balasingam (kanan), dan fulbek India Aslam Sher Khan (tengah) di edisi sulung Sports Flame pada 2011.

Edisi pertama menyaksikan bekas pemain daripada skuad hoki Piala Dunia 1975 bertemu pemain India, Aslam Sher Khan – bermain di posisi pertahanan yang menyingkirkan negara tuan rumah daripada mara ke final – buat pertama kali selepas 36 tahun.

Mereka yang terbabit dengan Sports Flame mahu acara itu mempunyai nilai estetik, bukan dengan merit komersial, dan mereka mengeluarkan wang dari saku sendiri untuk menganjurkan perjumpaan semula berkenaan.

Das, 77, berkata: “Kami memulakan Sports Flame untuk memberi penghormatan kepada personaliti berkenaan, terutamanya dari tahun 70-an, dan termasuk beberapa dari tahun 60-an dan awal 80-an.

“Merekalah yang membuat tugas liputan kami menyeronokkan, dan ini adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada mereka dan menunjukkan bahawa penulis sukan dari era mereka tidak melupakan mereka.”

“Sukan mengeratkan kami,” kata Velu, 73. “Mereka bukan orang yang anda temu bual dan anda lupakan kemudian.”

“Sports Flame telah menyediakan satu platform untuk memperbaharui persahabatan, dan sebahagian mereka begitu bersemangat untuk melakukan ini sehingga mereka menawarkan diri untuk menyumbang bagi perbelanjaannya,” katanya.

Das dan Velu berhenti daripada bidang kewartawanan pada 1980-an dan berganjak pula ke barisan hadapan segi tiga emas sukan, penajaan dan media.

Rokk, 68, berkata: “Banyak yang kami belajar daripada mereka kerana sebagai penulis sukan kami tidak hanya membuat liputan satu sukan sahaja.

“Kami bukan pakar dalam sesetengah sukan berkenaan, dan mereka mengajar kami dengan baik, membekalkan berita yang menjadi tulisan hebat.”

Fauzi, 68, berkata sejarah legenda berkenaan adalah “satu hamparan yang kaya dengan kehidupan sukan yang kepada mereka adalah wahana ekspresi, kesetiaan kepada sukan dan tanggungjawab kepada negara.”

“Kami membina persahabatan atas ikatan pengalaman yang dikongsi bersama dalam kehidupan peribadi dan profesional,” katanya. “Kami tidak akan menjadi sesiapa dalam kewartawanan sukan tanpa mereka.”

Untuk mengabadikan wira-wira sukan Malaysia yang gemilang pada masa lalu atas pengorbanan dan kehebatan mereka, Das dan kumpulannya mengendalikan mysportsflame.com.

Pada 2018, mereka menghasilkan sebuah buku, “Sports Flame – Stories Never Told Before”, yang ditulis oleh beberapa legenda dan penulis sukan terkenal, yang kesemuanya menulis tentang pengalaman mereka sendiri.

Bahagian yang menarik dalam buku itu ialah isteri-isteri menulis tentang suami mereka yang telah meninggal dunia.

Empat sahabat

Empat sahabat (dari kiri) George Das, R Velu, Lazarus Rokk dan Fauzi Omar.

Jika Sports Flame boleh digambarkan sebagai satu geng, maka mereka menemui pemimpin sempurna pada Das, seorang lelaki tidak formal dan berterus-terang yang telah menjalani seluruh hidupnya dengan tonggak berkembar persahabatan dan kesetiaan.

Das dan sahabat-sahabatnya itu membawa pemikiran mendalam dan kemanusiaan kepada penulisan sukan sebagai wartawan, kolumnis dan editor dengan New Straits Times, Malay Mail dan Sports Mirror.

Mereka berpengaruh, berimaginasi, sangat fokus, bersemangat, dan berjuang untuk apa yang betul dan perlu.

Ada kalanya, pendapat kritis mereka menyebabkan mereka berperang dengan tokoh-tokoh dan persatuan-persatuan sukan.

Pada tahun 1992, Rokk mendedahkan satu cerita yang sedikit-sebanyak mencetuskan krisis perlembagaan ketika itu.

Ia melibatkan jurulatih hoki Kolej Sultan Abu Bakar Douglas Gomez yang didakwa diserang oleh Sultan Johor ketika itu.

Gomez telah membantah satu titah sultan kepada pasukannya supaya menarik diri daripada kejohanan hoki sekolah-sekolah kebangsaan.

Titah itu dibuat selepas putera sultan, Tunku Majid, digantung selama lima tahun oleh Persekutuan Hoki Malaysia kerana menyerang penjaga gol Perak, Mohamed Selvaraja, dalam Sukan Malaysia.

Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan perkara itu, dan undang-undang mengenai hubungan di antara monarki dan rakyat telah dikaji semula.

Rokk, Fauzi dan seorang lagi wartawan terkenal, Johnson Fernandez, turut berada di tengah-tengah pendedahan mengenai perbuatan mengatur perlawanan bola sepak semi-pro pada musim 1993-94.

Skandal itu membawa kepada penahanan 230 pemain dan pegawai serta memusnahkan bola sepak Malaysia, tetapi tidak sebelum wartawan berkenaan menerima ugutan bunuh.

Fauzi menerima sebutir peluru melalui pos, Rokk mendapat pisau cukur dengan lukisan batu nisan dengan namanya, manakala Fernandez ditakut-takutkan dengan panggilan telefon yang mengancam.

Mereka tidak gentar dan memberikan maklumat penting kepada Majlis Sukan Negara untuk menyediakan satu kertas putih.

Fauzi, bekas editor Malay Mail, berhenti menulis sukan pada tahun 2000. Dalam kolum terakhirnya, beliau menulis: “Selepas 25 tahun mempersembahkan pelbagai aspek sukan Malaysia yang menarik dan tidak begitu indah, saya telah memutuskan untuk berundur kerana saya memilih untuk tidak menjadi sebahagian daripada mempolitikkan sukan secara total – rasuah yang melingkarinya.

“Daripada bola sepak hingga ke kriket, permainan telah dikompromikan. Terjual habis secara menyeluruh, saya takut yang saya juga akan terpalit jika saya kekal.

“Perkara terakhir yang meranapkan segala-galanya adalah perkauman yang semakin meluas.”

Seperti keterbukaan Fauzi, kata-kata pedas Rokk masih kedengaran lantang dalam konteks ahli-ahli sukan yang dilupakan.

Rokk berang kerana bintang badminton skuad juara Piala Thomas Malaysia pada 1967 terpaksa memohon pas untuk menonton perlawanan akhir 1992 di Kuala Lumpur, hanya untuk mendapati tiada tempat duduk buat mereka.

Bekas editor sukan New Straits Times itu menulis kolum pedasnya tentang bagaimana “amnesia berlaku lebih cepat daripada rigor mortis (kekejangan tubuh selepas mati)”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.