
Pelantikan legenda badminton negara itu diumumkan Presiden BAM Tengku Zafrul Aziz selepas mesyuarat Majlis BAM.
Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan struktur baharu itu menyaksikan bilangan jawatankuasa dikurangkan daripada 14 kepada 10 bagi memastikan urus tadbir lebih efisien dan berfokus.
“Majlis BAM sebulat suara bersetuju menerima pakai pelan Tangkis 2030 sebagai pelan rasmi pembangunan BAM bagi tempoh akan datang.
“Kami juga telah memutuskan senarai pengerusi bagi hampir semua jawatankuasa. Terdapat empat ahli baharu Majlis BAM, termasuk Chong Wei, yang akan mengetuai jawatankuasa masing-masing berdasarkan kepakaran dalam bidang tertentu,” katanya menurut Berita Harian.
Tengku Zafrul berkata, selain ahli majlis, BAM turut akan menjemput tokoh luar untuk menganggotai beberapa jawatankuasa berdasarkan kepakaran, pengalaman dalam sukan badminton dan semangat terhadap pembangunan sukan berkenaan.
Beliau pada masa sama menegaskan tidak akan mengetuai mana-mana jawatankuasa bagi mengelakkan konflik kepentingan.
“Saya dan setiausaha agung (Kenny Goh) tidak akan menyertai mana-mana jawatankuasa bagi mengelakkan sebarang isu berat sebelah,” katanya.
Sementara itu, Chong Wei menyifatkan pelantikannya sebagai penghormatan besar dan berjanji akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam membantu meningkatkan prestasi pemain kebangsaan.
“Perkara paling penting ialah saya perlu bekerjasama rapat dengan barisan kejurulatihan kerana mereka memahami aspek teknikal dan prestasi pemain dengan lebih mendalam.
“Kadang-kadang kita menang, kadang-kadang kita kalah, saya perlu faham apa yang dilalui pemain ketika kejohanan dan cuba bantu mereka atasi cabaran yang dihadapi,” katanya.
Pelan Tangkis 2030 diumumkan BAM Ogos lalu menggariskan beberapa sasaran utama untuk dicapai termasuk menjuarai Piala Thomas 2026, memenangi pingat emas Sukan Olimpik Los Angeles 2028 dan menduduki ranking nombor satu dunia dalam sekurang-kurangnya tiga daripada lima kategori utama.