Jangan cemas pesawat terbang rendah, kata TUDM

Jangan cemas pesawat terbang rendah, kata TUDM

TUDM memaklumkan ATM sedang melaksanakan persiapan bagi Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut yang akan berlangsung 10 Okt.

TUDM memaklumkan latihan akan melibatkan penerbangan taktikal paras rendah beberapa pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter milik ATM. (Gambar Bernama)
IPOH:
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengingatkan orang ramai tidak cemas atau bimbang jika melihat pesawat tentera terbang rendah di beberapa kawasan sekitar Lumut, Sitiawan terutama di ruang udara Manjung, bermula esok.

Dalam kenyataan, TUDM memaklumkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang melaksanakan persiapan bagi Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut yang akan berlangsung pada 10 Okt dengan persembahan perbarisan tempur statik dan demonstrasi keupayaan ATM.

Menurut kenyataan itu, ia akan melibatkan penerbangan taktikal paras rendah beberapa pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter milik ATM, disertai demonstrasi melibatkan bahan letupan.

Raptai atau latihan bagi persiapan acara ini akan bermula esok.

Sementara itu, orang ramai turut dijemput ke Karnival Hari ATM 2023 di Pangkalan TLDM Lumut pada 13 hingga 15 Okt dengan pelbagai aktiviti serta pameran ditampilkan, yang melibatkan cabang darat, laut dan udara dalam ATM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.