
Mordi berkata fenomena itu satu cabaran kritikal dalam pembangunan modal insan negara sekiranya tiada intervensi awal dan bersepadu dilaksanakan.
“Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia bagi 2024, peratusan belia NEET berumur 15 hingga 24 tahun direkodkan 8.7% manakala peratusan keciciran pelajar sekolah menengah, 2.55%.
“Data ini menunjukkan kewujudan kumpulan belia yang berisiko tercicir secara berterusan daripada sistem pendidikan, latihan dan pasaran pekerjaan sekiranya tiada intervensi awal dan bersepadu dilaksanakan,” katanya di sesi soal jawab di Dewan Rakyat, lapor Berita Harian.
Beliau menjawab soalan tambahan Suhaili Abdul Rahman (PN-Labuan) yang ingin tahu langkah diambil KBS dan persatuan belia dalam menangani isu NEET dalam kalangan belia di negara ini.
Mordi berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengambil pelbagai langkah intervensi selari dengan Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030.
Katanya, ini termasuk usaha rapatkan jurang pendidikan dan ekonomi, khususnya dalam kalangan belia minoriti, terpinggir serta belia berisiko melalui laluan pembangunan yang lebih inklusif dan fleksibel.
Menurutnya, KBS menerusi Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) turut menawarkan latihan kemahiran merangkumi 14 bidang kemahiran yang relevan dengan keperluan industri semasa termasuk bagi belia yang tidak mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Katanya, berdasarkan rekod, seramai 468 orang pelajar menyambung pengajian di 21 ILKBS di seluruh negara tanpa SPM bagi tempoh 2024 dan 2025.
Mordi berkata KBS menerusi Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia juga sedang melaksanakan kajian potensi, daya daing dan kebolehpasaran belia dalam pekerjaan, pendidikan dan latihan.