
Menteri Khaled Nordin berkata, langkah pertama melibatkan semakan dan penyusunan semula keseluruhan prosedur serta proses perolehan dalam sistem Kementerian Pertahanan.
“Ini bagi memastikan ia lebih telus, teratur dan bebas daripada kelemahan yang boleh dimanipulasi,” katanya dalam sesi penerangan menteri pertahanan berhubung isu terkini rasuah dan salah guna kuasa dalam Angkatan Tentera (ATM).
Khaled berkata, langkah kedua adalah pelaksanaan digitalisasi secara menyeluruh di Kementerian Pertahanan bagi menjadi pemangkin kepada ketelusan, keutuhan dalam semua proses dan projek melibatkan dana kerajaan.
Katanya, langkah ketiga penggunaan kecerdasan buatan (AI) secara lebih meluas bagi membantu analisis dan jangkaan dalam proses perolehan.
Seterusnya, Kementerian Pertahanan akan menubuhkan Lembaga Pengukuhan Keutuhan dan Amanah bagi langkah keempat.
“Ia akan menjadi sebuah badan khusus yang bertanggungjawab memandu kementerian dalam semua urusan berkaitan integriti dan pelaksanaan amanah,” kata Khaled.
Beliau berkata, langkah kelima pula pelaksanaan kerangka environmental, social and governance (ESG) dalam tatakelola Kementerian Pertahanan dan ATM bagi menutup jurang governan dan memastikan pengurusan kementerian selari dengan agenda kelestarian.
Sebelum ini, beberapa pegawai kanan ATM disiasat dan ditahan malah ada yang didakwa berkaitan salah guna kuasa dan rasuah, sekali gus menimbulkan persoalan awam terhadap tahap integriti pasukan keselamatan itu.
Selain itu, ATM juga terpalit dakwaan aktiviti tidak bermoral termasuk kemasukan orang luar tanpa kebenaran bagi tujuan hiburan serta kewujudan bar mini.
Sementara itu, Khaled memaklumkan beliau bertemu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki minggu lalu sebagai jaminan kementeriannya tidak akan melindungi mana-mana pihak.
Katanya, Kementerian Pertahanan membuka pintu kepada SPRM dengan seluas-luasnya.
“Saya telah memberi jaminan saya dan seluruh Kementerian Pertahanan berdiri bahu membahu dengan beliau dan SPRM untuk membasmi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa di Kementerian Pertahanan dan ATM,” katanya.