Wakil MCA atau MIC bakal dilantik menteri?

Wakil MCA atau MIC bakal dilantik menteri?

Sumber berkata perbincangan tertinggi mengenai perkara itu telah diadakan melibatkan pihak berkenaan, baru-baru ini.

Anwar Ibrahim perlu merombak Kabinet untuk mengisi kekosongan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Wakil MCA atau MIC mungkin dikembalikan dalam Jemaah Menteri susulan rombakan yang diuar-uarkan bakal dibuat selepas PRK DUN Pelangai hujung minggu ini.

Sumber memberitahu FMT berkata perbincangan ‘tertinggi’ mengenai perkara itu, melibatkan pihak berkenaan diadakan baru-baru ini namun tidak memberi butiran lanjut.

“Kita tunggu sehinggalah (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim umum rombakan kerana apa pun boleh berlaku seperti pengumuman Kabinet Disember lalu,” katanya.

Ketika ini, BN hanya diwakili Umno dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dalam Jemaah Menteri kerajaan perpaduan selepas PRU15.

MCA mempunyai dua Ahli Parlimen iaitu presidennya Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) manakala wakil tunggal MIC, M Saravanan (Tapah) yang juga timbalan presiden parti itu.

Wee pernah menjadi menteri pengangkutan manakala Saravanan pula sebagai menteri sumber manusia di era pentadbiran Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri Yaakob.

Rombakan Kabinet perlu dibuat antaranya untuk mengisi kekosongan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup susulan kematian Salahuddin Ayub pada 23 Jul lalu.

Minggu lalu, lima ketua setiausaha terbabit dalam pertukaran ke kementerian dan jabatan lain, di sebalik ura-ura kemungkinan rombakan Jemaah Menteri.

Anwar dilaporkan berkata beliau masih memikirkan mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.