Jual diesel subsidi, pemilik stesen minyak didenda RM100,000

Jual diesel subsidi, pemilik stesen minyak didenda RM100,000

Syarikat itu didapati mengisi lebih 2,000 liter diesel subsidi dalam dua lori.

Pemilik bersama stesen minyak Abdul Wahab Jaafar mengaku bersalah menjual diesel bersubsidi kepada sebuah syarikat perdagangan walaupun dia hanya dibenar menjual minyak dengan diisi terus ke dalam tangki kenderaan.
PETALING JAYA:
Seorang pemilik bersama sebuah stesen minyak didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah menjual minyak diesel bersubsidi kepada sebuah syarikat.

Abdul Wahab Jaafar, 73, mengaku salah melakukan kesalahan itu di stesen minyak BHP milik KA Surijaya Enterprise di Puchong pada 9.30 malam, 22 Mac tahun lalu.

Menurut kertas pertuduhan, pemilik stesen minyak itu hanya mempunyai lesen menjual secara runcit petrol dan diesel bersubsidi kepada pemilik kenderaan dengan mengisi terus ke dalam tangki kenderaan mereka. Pemilik stesen itu tidak memiliki lesen menjual secara borong.

Bagaimanapun, pada hari kejadian dua lori dari syarikat Yau Poh Trading Sdn Bhd dibenar mengisi diesel dalam beberapa tong drum.

Sejumlah 1,140 liter diesel diisi dalam salah satu lori manakala satu lagi membawa 1,080 liter.

Beberapa pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang mendapat maklumat mengenai aktiviti haram itu, memantau kejadian tersebut sebelum membuat serbuan.

Wahab didakwa melanggar Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjual diesel tanpa kebenaran.

Timbalan Pendakwa Raya Suhana Mohd menggesa Wahab dikenakan hukuman setimpal.

Katanya, kerajaan memperuntukkan berbilion ringgit subsidi untuk membantu golongan miskin dan memerlukan tetapi kejadian ini menunjukkan bantuan itu diterima orang yang salah.

“Ini seperti memutar belitkan ekonomi dan boleh membawa kepada gangguan bekalan minyak,” katanya.

Peguam Tharamjit Singh pula merayu hukuman ringan dikenakan kerana ini adalah kesalahan pertama anak guamnya yang juga seorang warga emas.

“Anak guam saya berjanji tidak mengulangi kesalahan itu,” katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak Hakim Azrul Darus kemudian menjatuhkan hukuman denda RM100,000.

Wahab membayar denda itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.