Cederakan rakan setugas, 2 koperal tentera didenda RM4,400

Cederakan rakan setugas, 2 koperal tentera didenda RM4,400

Majistret turut arah dua tertuduh dihukum penjara 14 hari serta dua bulan, jika gagal bayar denda.

gavel
Kedua-dua tertuduh didenda RM700 dan RM1,500 masing-masing oleh dua Mahkamah Majistret Sungai Petani. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Dua koperal tentera didenda RM2,200 masing-masing di dua Mahkamah Majistret Sungai Petani kerana mencederakan dua rakan setugas bulan lalu.

Berita Harian melaporkan Mohamad Izzuddin Ahmad, 27, dan Muhamad Amir Irfan Mohd Ridzuan, 25, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Muhammad Syaiful Akmal Mohamad Razi dan Mohamad Azlan Basri.

Di depan Syaiful Akmal, dua tertuduh didakwa mencederakan seorang lelaki 25 tahun di bilik penginapan bujang Batalion 165 Risik, Kem Lapangan Terbang Sungai Layar antara 10.05 malam hingga 11.50 malam 5 Mac lalu.

Majistret itu kemudian menjatuhkan denda RM700 ke atas setiap tertuduh dan hukuman penjara 14 hari, jika gagal membayar denda.

Di depan Azlan, dua lelaki itu didakwa atas kesalahan mencederakan seorang lagi mangsa 25 tahun di lokasi, tarikh dan masa sama.

Mereka kemudian didenda RM1,500 masing-masing dan hukuman penjara dua bulan, jika gagal membayar denda.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam Chong Sen Ming yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya masih bujang, berpendapatan rendah dan menanggung ibu bapa kurang sihat di kampung.

Beliau berkata, kedua-dua tertuduh juga tiada rekod lampau jenayah dan memberi kerjasama penuh ketika siasatan.

Tetapi, pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.