Anggota tentera didakwa amang seksual 2 budak, miliki bahan lucah

Anggota tentera didakwa amang seksual 2 budak, miliki bahan lucah

Muhammad Fudhail Fathollah Hamdan mohon dibicarakan terhadap semua pertuduhan itu.

Mahkamah Majistret Ayer Keroh
Tertuduh, Muhammad Fudhail Fathollah Hamdan, 23, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh terhadap pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan dan memiliki bahan lucah dalam telefon bimbitnya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini terhadap pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap dua kanak-kanak perempuan dan memiliki pelbagai gambar serta video lucah di dalam telefon bimbit, minggu lalu.

Tertuduh, Muhammad Fudhail Fathollah Hamdan, 23, bagaimanapun mohon dibicarakan terhadap pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin, menurut Berita Harian.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun enam bulan dengan cara menariknya masuk ke dalam sebuah rumah dan menolak badan mangsa ke dinding.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah kosong tidak berpenghuni di No 35, Jalan Serindit, Kem Terendak, Sungai Udang, di sini, pada 12 April lalu, kira-kira 4.30 petang.

Berdasarkan pertuduhan kedua pula, dia didakwa melakukan kesalahan sama terhadap seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dengan dengan cara menariknya masuk ke dalam rumah berkenaan, memegang kedua-dua tangannya sambil memaksa mangsa untuk membuka mulut pada tarikh, masa dan di tempat sama.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan kerana memiliki pelbagai gambar dan video lucah yang disimpan dalam telefon bimbit iPhone 15 Pro Max miliknya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu ketika berada di Pejabat Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah IPK Melaka pada 13 April lalu, kira-kira 8 malam.

Terdahulu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyyum Ramlan mencadangkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin selain syarat tambahan termasuk tidak menganggu mangsa dan saksi serta melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Bagaimanapun, peguam SS Amritpal Singh merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya bakal melangsungkan perkahwinan hujung tahun ini.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat dipohon pendakwaan.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Mei depan bagi serahan dokumen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.