Intai wanita dalam tandas LRT Sentul, lelaki didenda RM3,500

Intai wanita dalam tandas LRT Sentul, lelaki didenda RM3,500

Abdul Samad Osman sangat kesal dan insaf dengan perbuatannya serta memohon maaf kepada keluarga mangsa.

Abdul Samad Osman
Abdul Samad Osman dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi tadi.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret di sini mendenda seorang pekerja restoran RM3,500 kerana mengintai wanita dalam tandas awam di stesen LRT Sentul minggu lalu.

Abdul Samad Osman, 22, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Aina Azahra Arifin, yang memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan, jika gagal membayar denda.

Lelaki itu dituduh mengaibkan kehormatan mangsa berusia 43 tahun dengan mengintainya dalam tandas di stesen LRT Sentul kira-kira 8 pagi 16 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguamnya, CH Low dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya hanya berpendapatan RM1,500 sebulan dan menanggung ibu bapanya.

Low berkata, tertuduh kesal dan insaf atas perbuatan itu, selain berjanji tidak akan mengulanginya serta memohon maaf kepada mahkamah dan keluarga mangsa.

Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.