
Isteri perdana menteri merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu berkata, menerusi program tersebut, agensi kerajaan dapat mengesan dan menyantuni golongan sasar yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Kita akui memang ada yang tercicir (daripada menerima bantuan), itu yang nak (kita) kurangkan dan kita nak tengok mereka yang betul-betul memerlukan itu dapat (bantuan), jadi sasaran kita (kena) tepat … (ada sesetengah individu) nampak macam tak miskin tapi realitinya hidup dalam kesusahan.
“Oleh itu, dengan pasukan (melibatkan agensi-agensi kerajaan) yang kita ada akan membantu dan cuba menanganinya sebab apa yang Perdana Menteri Anwar Ibrahim nak (adalah) miskin tegar itu kita keluarkan (daripada kemiskinan) … itu yang kita mahu capai dan tambah baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Program Pembasmian Miskin Tegar di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi Parlimen Bandar Tun Razak dan Cheras di Institut Latihan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Cheras, di sini hari ini.
Program yang melibatkan 230 ketua isi rumah bagi Parlimen Bandar Tun Razak dan 77 ketua isi rumah bagi Parlimen Cheras yang berdaftar dalam sistem eKasih, turut dihadiri Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai.
Sesi libat urus itu disertai Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), DBKL, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) JPM, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Turut serta dalam program pembasmian miskin tegar itu termasuk pempamer daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Giat Mara yang menawarkan peluang pekerjaan bersesuaian kepada ketua isi rumah serta ahli isi rumah yang hadir.
Menerusi program berkenaan, JPM melaksanakan projek rintis pembasmian miskin tegar di Kuala Lumpur, seterusnya merealisasikan hasrat perdana menteri untuk menoktahkan miskin tegar pada tahun ini.
Menurut data eKasih, setakat 31 Julai lepas, sejumlah 1,811 ketua isi rumah tersenarai dalam kelompok miskin tegar di Kuala Lumpur.
Sistem eKasih ialah pangkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program berkaitan kemiskinan.
Seorang ketua isi rumah dari Parlimen Bandar Tun Razak yang juga peserta sesi libat urus itu, K Kaneasan, 42, menyifatkan inisiatif yang dijalankan kerajaan menerusi sesi libat urus adalah bagus dan efektif, khususnya dalam memudahkan urusan permohonan bantuan.
“Untuk membolehkan saya mendapatkan pelbagai bantuan seperti bantuan kewangan, bantuan untuk anak-anak, saya cuma perlu buat permohonan dengan menghantar borang dan laporan kesihatan untuk pendaftaran eKasih,” katanya.
Bapa kepada empat orang anak itu juga memaklumkan beliau diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan berikutan serangan jantung yang dialaminya baru-baru ini.
Sementara itu, Salamah Abdul Rahman, 73, yang menetap di Cheras pula mengucapkan terima kasih atas usaha kerajaan dalam membantu golongan sepertinya untuk meneruskan kehidupan dengan pelaksanaan program sedemikian.