
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata, nilai pembelian itu bersamaan dengan 11.5 juta liter RON95 dibeli oleh pengguna pada harga RM1.99 seliter.
“Pada 28 Sept (Ahad) fasa kedua BUDI95 dibuka kepada lima juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) di seluruh negara dan dalam tempoh sehari, RM22.9 juta pembelian telah direkodkan.
“Proses penebusan berjalan lancar tanpa gangguan. Ini menyusuli kejayaan fasa pertama pada 27 Sept (Sabtu) yang melibatkan 300,000 anggota polis dan tentera di seluruh negara,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Program BUDI95: Pengisian Minyak Bersubsidi RON95 kepada penerima STR, bersama Adun Kota Darul Aman Teh Swee Leong di stesen minyak BHPetrol hari ini.
Lim berkata lagi, dengan pelaksanaan inisiatif tersebut, penjimatan yang diperoleh akan disalurkan kepada peningkatan perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan pembangunan prasarana asas.
Justeru, beliau menyeru rakyat untuk memanfaatkan faedah tersebut dan bagi memastikan proses penebusan berjalan lancar, mereka disarankan memastikan cip MyKad berfungsi selain lesen memandu masih sah.
“Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengemas kini pangkalan data susulan terdapat aduan mengenai status kelayakan,” katanya.
“Pada 30 Sept (esok), sistem ini akan dibuka sepenuhnya kepada 16 juta warganegara berumur 16 tahun ke atas yang memiliki MyKad dan lesen memandu aktif.”
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak tergesa-gesa mengisi petrol esok, kerana semua warganegara yang layak tetap dapat menikmati harga subsidi RM1.99 seliter dalam jangka masa panjang.