PayNet sahkan caj transaksi QR DuitNow bermula 1 Nov

PayNet sahkan caj transaksi QR DuitNow bermula 1 Nov

Syarikat itu menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan tidak akan terkesan menerusi pembelian menggunakan DuitNow QR selepas MDR dikenakan.

Payment Network Malaysia menjelaskan caj MDR bukan perkara baru kerana dikecualikan sejak 2019 sebagai inisiatif menggalakkan penggunaannya. (Gambar PayNet)
PETALING JAYA:
Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali platform QR DuitNow mengesahkan pengguna aplikasi itu akan dikenakan caj bermula 1 Nov ini.

Bagaimanapun, syarikat itu berkata caj kadar diskaun pedagang atau ‘merchant discount rate (MDR)’ bukan perkara baharu kerana ia dikecualikan ketika tempoh pengenalan aplikasi pada 2019, bagi menggalakkan penggunaannya.

Syarikat itu turut menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan tidak akan terkesan menerusi pembelian selepas MDR dikenakan.

“Pada masa ini pembayaran kad debit dan kredit dikenakan MDR manakala terdapat penepian (‘waiver’) MDR pada pembayaran QR.

“Ia bukanlah suatu yuran baharu mahupun caj tambahan. Sebaliknya, 1 Nov adalah permulaan kepada penamatan penepian MDR yang sepatutnya dilakukan lebih 9 bulan lalu,” menurut PayNet dalam satu kenyataan.

Sejak beberapa hari lalu, media tempatan melaporkan “merchant” atau penjual yang menerima pembayaran menerusi QR DuitNow akan dikenakan caj bergantung kepada mod pemindahan wang.

Perkhidmatan itu membolehkan pemindahan wang antara bank dan entiti bukan bank menerusi imbasan kod.

Berkaitan kebimbangan bahawa kos MDR akan dipindahkan kepada pengguna, PayNet menjelaskan pembelian menggunakan kad kredit dan debit sudahpun tertakluk kepada MDR.

“Produk dan perkhidmatan yang dibeli dengan kad kredit atau debit adalah pada harga sama dengan pembelian tunai.

“Oleh itu, kami tidak menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembelian menggunakan QR DuitNow selepas MDR dikenakan,” kata syarikat itu.

PayNet berkata, dana rizab bakal diwujudkan menerusi MDR yang dikutip untuk memberi insentif kepada pemeroleh supaya tidak mengenakan sebarang MDR kepada peniaga kecil.

“Walaupun PayNet tidak berada dalam kedudukan untuk menentukan harga pasaran yang dikenakan kepada peniaga, beberapa bank pemeroleh dan pemeroleh pihak ketiga berhasrat untuk sama ada terus menangguhkan pengenaan MDR atau menyerapnya untuk peniaga kecil.

“Dalam hal ini, peniaga perlu menyemak dengan bank atau pemeroleh pihak ketiga mereka untuk perkara ini.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.