
Beliau berkata mesyuarat jawatankuasa Jemaah Menteri mengenai keselamatan dan kesesakan jalan raya telah membincangkan perkara itu secara mendalam, dan mengambil maklum pandangan kementerian untuk memberi fokus kepada peningkatan mutu pengangkutan awam terlebih dahulu.
“Oleh itu, Kementerian Pengangkutan tidak dan belum bercadang untuk melaksanakan caj kesesakan ke atas kenderaan persendirian buat masa ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara.
Loke berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Low Kian Chuan yang ingin tahu jika kementerian akan mempertimbangkan pelaksanaan cukai caj kesesakan memandangkan isu sambungan First Mile dan Last Mile telah diselesaikan melalui perkhidmatan van transit atas permintaan.
Beliau berkata kajian pelaksanaan caj itu merangkumi mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan jumlah trafik serta peningkatan penggunaan pengangkutan awam sedang dijalankan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
Kementerian juga sedang melaksanakan kajian pelan strategik pengangkutan awam Lembah Klang, antara lain turut merangkumi kajian Origin-Destination dan diharap dapat dijadikan penanda aras untuk meningkatkan mutu pengangkutan awam termasuk di negeri.
“Ini kerana negara-negara maju hanya melaksanakan caj kesesakan setelah mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik,” katanya.