Caj 1.6% KWTBB dikecuali mulai 1 Ogos

Caj 1.6% KWTBB dikecuali mulai 1 Ogos

Ia membabitkan tiga program utama – Tarif Elektrik Hijau, Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat dan Community Renewable Energy Aggregation Mechanism.

stesen janakuasa pencawang
Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata langkah itu selaras hasrat merancakkan pembangunan dan integrasi tenaga boleh baharu dalam pembekalan elektrik negara. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan mengecualikan caj 1.6% Kumpulan Wang Tenaga Boleh Baharu (KWTBB) bagi tarif elektrik daripada program tenaga boleh baharu berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) dalam kenyataan memaklumkan pengecualian itu melibatkan tiga program utama, iaitu Tarif Elektrik Hijau, Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat dan Community Renewable Energy Aggregation Mechanism.

Langkah itu selaras hasrat merancakkan pembangunan dan integrasi tenaga boleh baharu (TBB) dalam pembekalan elektrik negara.

“Dengan ketetapan serta penambahbaikan ini, Petra berharap ia akan memberikan insentif kepada pengguna, terutamanya syarikat korporat dan industri untuk terus menyokong agenda peralihan tenaga negara ke arah mencapai sasaran 70% TBB dalam pembekalan elektrik negara menjelang 2050.”

Ia memaklumkan usaha itu juga diharap akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri TBB negara yang lebih progresif dan positif.

“Kutipan 1.6% KWTBB daripada tarif elektrik pengguna diperkenalkan pada 2011 sebagai dana untuk memangkin pertumbuhan pembangunan TBB di negara ini melalui pelaksanaan mekanisme tarif galakan atau Feed-in Tariff (FiT) oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia.

“Sejak pelaksanaan mekanisme FiT ini, kapasiti TBB teragih dalam sistem pembekalan elektrik negara, terutamanya daripada sumber solar meningkat secara mendadak, iaitu daripada 5 megawatt (MW) pada 2011 kepada 5,100MW pada masa ini.”

Pada masa sama, katanya, program FiT berjaya meningkatkan komposisi pembekalan elektrik daripada sumber biogas, biojisim dan hidro kuasa kecil kepada 855MW.

“Susulan daripada jadual tarif elektrik baharu yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lepas, kerajaan meneliti semula pelaksanaan program TBB sedia ada dan memutuskan untuk meneruskan hasrat menggalakkan penerapan TBB dalam kalangan pengguna elektrik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.