
Tiada pengakuan direkodkan daripada A S Jhon Piter, 49, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R Prabakaran kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Tertuduh didakwa membunuh Chor Kok Kuan, 59, di kaki lima gerai makanan Pasar Pokok Assam di sini, antara 3.30 hingga 4.15 petang, 12 Sept lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun tetapi maksimum 40 tahun dan hukuman tidak kurang 12 sebatan, sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Khoo Thean Heng, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 20 Nov depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat.
Pada 12 Sept lalu, polis menahan lelaki yang disyaki terlibat dalam pergaduhan di hadapan kedai serbaneka yang menyebabkan mangsa yang juga seorang peniaga maut serta merampas sebuah topi keledar dan tiga batang kayu.