Teliti dulu sebelum minta korporat bantu program basmi kemiskinan, kata ahli ekonomi

Teliti dulu sebelum minta korporat bantu program basmi kemiskinan, kata ahli ekonomi

Ahli ekonomi dan kumpulan perniagaan berkata syarikat korporat mengharapkan kredibiliti tetapi bimbang ia mungkin menakutkan bakal pelabur.

Isi rumah dengan pendapatan bulanan RM1,169 ke bawah dianggap sebagai miskin tegar. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Cadangan untuk meminta syarikat korporat untuk membantu program basmi kemiskinan mesti diteliti dengan berhati-hati sebelum dilaksanakan, kata ahli akademik dan kumpulan perniagaan.

Walaupun bersetuju ia adalah idea yang baik tetapi untuk melaksanakan adalah sangat mencabar, lebih buruk lagi ia boleh menakutkan pelabur.

Mereka mengulas cadangan cadangan oleh Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), Zainal Abidin Sakom yang mahu syarikat serta NGO dan persatuan menyumbang 1% daripada keuntungan tahunan mereka kepada dana yang diuruskan kerajaan untuk program membantu golongan miskin tegar.

Pertama sekali, perniagaan mengharapkan kredibiliti, kata Profesor Ekonomi Universiti Monash Malaysia, Niaz Asadullah, kepada FMT Business.

Beliau berkata selain daripada mengharapkan ganjaran di sektor sosial, entiti berasaskan keuntungan seperti perniagaan dalam apa yang dikenali sebagai “kelab 1%” juga perlu tahu bahawa wang mereka diuruskan secara bertanggungjawab.

Katanya, terdapat persepsi bahawa tidak banyak ketelusan dalam rancangan, pelaksanaan, dan penilaian program kemiskinan negara sebelum ini.

“Kita memiliki banyak inisiatif tetapi sedikit bukti kukuh mengenai apa yang berjaya dan apa yang tidak dalam konteks Malaysia,” kata Niaz.

Sebagai contoh, beliau berkata, kumpulan masyarakat tidak mempunyai akses kepada maklumat mengenai prestasi tahap projek dan kualiti perkhidmatan.

Selain itu, untuk menjadikan pendekatan ini berdaya maju, “kita mesti mengelakkan satu fokus pembiayaan sahaja,” katanya.

“Menghapuskan kemiskinan tegar bukanlah hanya tentang membelanjakan RM138 juta lagi untuk bayaran tunai ‘one-off’. Ia berkait dengan merancang program yang boleh membawa perubahan berterusan dalam keupayaan dan tingkah laku manusia,” kata Niaz.

Beliau berkata program basmi kemiskinan yang dibiayai oleh sektor swasta boleh membawa dana tambahan sementara penyertaan industri boleh menjadikan inisiatif seperti ini lebih inovatif, menggalakkan penyertaan yang lebih besar dan lebih telus.

“Jika 1% (syarikat yang menyumbang) teratas memberi sumbangan kepada usaha basmi kemiskinan negara, (syarikat) yang lain akan berasa bertanggungjawab untuk membalas tindakan tersebut,” katanya.

Perspektif asing

Naib Pengerusi Majlis Perdagangan Malaysia-Australia, Nordin Abdullah, berkata langkah tersebut boleh dilihat sebagai perubahan dalam syarat-syarat pelaburan.

“Ini boleh membawa kepada tindakan undang-undang terhadap kerajaan oleh syarikat-syarikat yang telah melabur di Malaysia, dan ini juga bermakna, reputasi negara akan terjejas,” katanya kepada FMT Business.

Nordin, yang juga merupakan Naib Presiden Dewan Perdagangan Asean Australia berkata rancangan itu akhirnya boleh menjadi tidak produktif.

“Malaysia kini mempunyai reputasi sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan dapat mengekalkan dasar-dasar mesra pelabur,” tambahnya.

Beliau berkata sumbangan kepada ekonomi domestik harus dalam konteks mengwujudkan pekerjaan, pembangunan PKS tempatan dan penyediaan infrastruktur.

“Ini ekosistem yang membuahkan hasil sebenar dari segi pembangunan mampan dan pembasmian kemiskinan,” katanya.

Nordin berkata syarikat senarai awam di Australia memberi penekanan yang besar kepada kontrak sosial terutamanya dalam bidang seperti penglibatan komuniti, pemindahan teknologi, pembinaan infrastruktur komuniti, pembangunan vendor, pembiayaan penyelidikan dan pembangunan serta biasiswa.

Beliau berkata bahawa di Malaysia, cabaran adalah menentukan bagaimana untuk memacu pembangunan ekonomi secara mampan dalam sektor dan lokasi geografi yang memerlukan bantuan.

“Bagi pelabur Australia dan asing lain, pilihan terbaik adalah untuk bersama membangunkan projek tertentu yang boleh dipantau dan dilaksanakan secara langsung, dengan matlamat membasmi kemiskinan dan dengan tadbir urus yang baik,” katanya.

“Usaha ini memerlukan kerja keras, dan tiada penyelesaian mudah,” tambahnya.

Menjelaskan cadangan itu, Zainal berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim mencadangkan idea serupa ketika beliau menjadi menteri kewangan pada tahun 1996.

Pada Jun lalu, perdana menteri berkata seluruh jentera kerajaan akan diminta bekerjasama untuk membanteras miskin tegar pada tahun ini.

Data menunjukkan bilangan isi rumah miskin tegar di Malaysia menurun dari 124,744 kepada 118,217 dalam tempoh lima bulan sehingga 15 Mei. Isi rumah dengan pendapatan bulanan RM1,169 ke bawah dianggap sebagai miskin tegar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.