Isu 3R: Polis selesai rakam keterangan Muhyiddin

Isu 3R: Polis selesai rakam keterangan Muhyiddin

Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata kertas siasatan akan dilengkapkan sebelum dihantar kepada Jabatan Peguam Negara.

Polis merakam keterangan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berhubung ceramah beliau ketika kempen PRK di Johor yang didakwa menyentuh isu 3R. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Polis selesai merakam keterangan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang disiasat kerana dituduh mengeluarkan kenyataan menyentuh isu kaum, agama dan raja atau 3R.

Menurut laporan Sinar Harian pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu dilihat keluar dari bangunan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Kuala Lumpur pada 10.25 pagi tadi.

Terdahulu Muhyiddin hadir ke bangunan MIDA di Kuala Lumpur untuk keterangannya dirakam polis.

Sementara itu Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata proses merakam keterangan Muhyiddin telah selesai.

“Kertas siasatan akan dilengkapkan dan kemudian akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998,” katanya lapor Sinar Harian.

Pada 9 September lalu, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dua kertas siasatan dibuka terhadap Muhyiddin susulan kenyataan “fatwa” haram mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dan orang Melayu hilang kuasa.

Pada minggu lalu, Muhyiddin dalam satu ceramah dilaporkan berkata “haram” mengundi calon PH di PRK Parlimen Pulai Suhaizan Kayat.

Muhyiddin kemudiannya menjelaskan beliau hanya berkias menyebut “saya bagi hukum haram” dan bukan berniat ia adalah fatwa atau hukum syarak.

Beliau juga mendakwa kenyataannya itu dipetik di luar konteks dan dimanipulasi untuk mengelirukan orang ramai.

Muhyiddin juga dilaporkan mengeluarkan kenyataan mendakwa orang Melayu sudah hilang kuasa, dan kerajaan ketika ini dilihat tidak memahami masalah yang dihadapi orang Melayu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.