Kematian 3 beranak tiada unsur jenayah, kata polis

Kematian 3 beranak tiada unsur jenayah, kata polis

Polis turut menemui petunjuk baharu kes antaranya sekeping nota bunuh diri tertulis senarai pemiutang.

Polis akan memanggil majikan dan ahli keluarga terdekat mangsa bagi melengkapkan siasatan kes, kata Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Hasil siasatan awal polis mendapati kes kematian tiga beranak di sebuah pangsapuri di Kampung Baru Ampang, di sini, pada Khamis lalu, tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata polis juga menemui petunjuk baharu kes itu antaranya sekeping nota bunuh diri yang di dalamnya tertulis senarai nama pemiutang.

Bagaimanapun, beliau berkata polis akan memanggil majikan dan ahli keluarga terdekat mangsa bagi melengkapkan siasatan kes berkenaan.

“Proses bedah siasat telah selesai dilakukan namun punca kematian masih belum diketahui dan polis masih menunggu laporan daripada ujian toksikologi (bagi mengkaji kehadiran ubat atau bahan kimia tertentu dalam badan),” katanya kepada Bernama hari ini.

Dalam kejadian itu, seorang ibu berusia 42 tahun dan dua anaknya, perempuan dan lelaki masing-masing berusia berumur 14 dan 15 tahun ditemukan mati di sebuah bilik di pangsapuri tersebut dan kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.