Mufti P Pinang gesa kerajaan anjur seminar, rintis persefahaman parti politik

Mufti P Pinang gesa kerajaan anjur seminar, rintis persefahaman parti politik

Wan Salim Mohd Noor berkata pimpinan parti politik perlu fokus kepada aspek persamaan dan cuba bertolak ansur demi perpaduan.

Wan Salim Mohd Noor, menggesa kerajaan anjur seminar melibatkan pemimpin parti politik, mufti, ulama dan NGO demi mencari titik persamaan demi perpaduan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mufti Pulau Pinang menggesa kerajaan menganjurkan seminar “mencari dan merungkai” kaedah mencapai matlamat perpaduan termasuk merintis persefahaman antara pendukung dan penyokong parti politik.

Wan Salim Mohd Noor berkata, seminar itu wajar melibatkan pemimpin parti-parti politik, mufti, ulama, ahli akademik, tokoh masyarakat dan NGO.

Katanya, berkata pimpinan semua parti politik perlu memberi fokus kepada aspek persamaan yang disifatkan lebih banyak berbanding perbezaan.

“Pimpinan semua parti perlu memberi fokus kepada aspek persamaan di samping cuba bertolak ansur dan kita yakin aspek persamaan antara parti di negara ini lebih banyak berbanding aspek yang berbeza.

“Maka, untuk mencapai kedamaian dan perpaduan yang dikehendaki, semua pihak perlu mengutamakan kepentingan bangsa dan negara di atas kepentingan parti masing-masing,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau turut mengambil maklum matlamat parti politik adalah menguasai tampuk pemerintahan justeru membuka jalan ke arah pencapaian tujuan.

“Begitupun, jika semua pimpinan parti ikhlas untuk mencari penyelesaian terhadap kemelut perpecahan dan mengutamakan kepentingan negara dan rakyat yang menyeluruh, maka kita yakin hasrat ini boleh direalisasikan dengan mudah,” katanya.

Katanya, kemaslahatan lebih besar perlu diutamakan dan mengabaikan kepentingan kecil dan sempit parti masing-masing.

“Utamakan maslahat lebih besar serta lebih menyeluruh, abaikan kepentingan kecil dan sempit dalam bingkai parti sendiri sahaja ini selari kaedah ilmu fiqh yang menetapkan bahawa kepentingan umum perlu didahulukan daripada kepentingan khusus.

“Nasib generasi baharu perlu diambil kira dalam membuat keputusan di samping kemajuan dan kemakmuran negara untuk kepentingan anak cucu kita pada masa depan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.