
Baru-baru ini, ketika dalam penerbangan ke Johor, saya berbual dengan lelaki di sebelah saya. Dia berasal dari Kedah dan bekerja di Kuala Lumpur.
Saya sempat berseloroh yang Sanusi Nor, menteri besar negerinya sering menjadi bahan hiburan orang ramai.
Namun, saya tidak menjangka jawapannya selepas itu.
Katanya, “Semakin ramai orang Melayu di Kedah yang tidak kisah jika DAP memenangi negeri itu.”
Saya bertanya kenapa.
Jawapannya dilihat dari sudut ekonomi.
Ibu bapanya, seperti generasi sebelumnya adalah pesawah padi.
Menurutnya, di Kedah, subsidi baja sering lewat sampai. Inovasi pula bergerak perlahan. Hasil tanaman tidak banyak berubah, menyebabkan ada petani yang terpaksa menyewakan tanah kepada pekerja asing yang akhirnya menguruskan keseluruhan kerja penanaman.
“Seperti datuk nenek saya, ibu bapa saya juga kekal miskin,” katanya. Golongan muda pula berhijrah ke Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Singapura demi kehidupan yang lebih baik.
Dalam masa yang sama, muncul pula nama Khairy Jamaluddin, yang dipuji sesetengah pihak—dan diragui oleh yang lain—sebagai tokoh yang mungkin mampu menghidupkan semula kekuatan politik Umno dan Barisan Nasional (BN) di Kedah.
Perbincangan ini timbul selepas Ketua Penerangan Pemuda Umno Kedah Safwan Jaafar menyatakan ideologi dan cara pemikiran bekas menteri kesihatan itu boleh membantu mengubah cara fikir pengundi di Kedah.
Namun, penganalisis tidak sependapat. Mereka berpendapat Khairy, bekas Ketua Pemuda Umno, mungkin bukan pilihan paling sesuai untuk negeri seperti Kedah.
Tetapi benarkah begitu?
Khairy mempunyai kelebihan berkomunikasi dengan jelas dan mampu mendekati golongan muda dengan cara yang jarang dimiliki pemimpin Umno lain.
Hakikatnya, perubahan cara fikir hanya akan berlaku jika Umno berani mengetengahkan seseorang yang berfikir di luar kebiasaan dan mampu memecahkan stereotaip yang telah lama tertanam dalam kalangan anak muda di utara.
Golongan muda ini, seperti yang saya dimaklumkan, dahagakan perubahan.
KJ, nama panggilan Khairy telah membuktikan dia mampu memecahkan stereotaip.
Selepas disingkirkan daripada Umno pada 2023 kerana berani bersuara, beliau melakukan sesuatu yang jarang berlaku—membina semula pengaruhnya hanya melalui idea dan karisma sendiri, tanpa sokongan jentera parti.
Program audio siar Keluar Sekejap dan ulasannya bukan sahaja mengekalkan dirinya masih relevan, malah memperluas pengaruhnya dalam kalangan masyarakat bandar.
Namun, ini juga mungkin menyebabkan beliau kekal dalam lingkungan kelompok elit Melayu.
Jika beliau kembali menyertai Umno menjelang PRU16, ketika parti itu sedang cuba mengembalikan kegemilangan lama, cabarannya berbeza.
Umno masih mampu bertahan di negeri lebih bandar seperti Johor, Melaka dan Negeri Sembilan. Tetapi Kedah adalah medan yang berbeza—lebih dipengaruhi isu luar bandar berbanding naratif bandar.
Di sinilah terletaknya ujian sebenar KJ.
Bukan rahsia lagi beliau menyimpan cita-cita untuk menjadi perdana menteri. Untuk mencapainya, beliau perlu membuktikan dirinya bukan sekadar pemimpin golongan elit, tetapi pemimpin untuk seluruh rakyat di segenap pelosok negara.
KJ perlu bersedia membawa Umno kembali ke kawasan majoriti Melayu luar bandar, tempat parti itu hampir kehilangan pengaruh sepenuhnya.
Ini memerlukan beliau keluar daripada ‘kepompong studio’ dan menukar karisma kepada kredibiliti di lapangan.
Ini bermakna beliau perlu turun padang, duduk bersama pesawah di Kedah untuk memahami mengapa subsidi sering lewat.
Beliau juga perlu mendekati anak muda Kedah untuk membentuk semula aspirasi mereka, supaya peluang pekerjaan dan masa depan yang lebih baik dapat diwujudkan di tempat asal mereka sendiri.
Ini juga bermakna beliau perlu mencetuskan pembaharuan sebenar dalam sektor pertanian negeri—melalui teknologi baharu untuk meningkatkan produktiviti, hubungan pasaran lebih kukuh dan memastikan semua ini benar-benar meningkatkan pendapatan petani.
Lebih penting lagi, beliau perlu menangani isu struktur yang lebih mendalam iaitu mengapa generasi demi generasi rakyat Kedah terus terperangkap dalam kemiskinan.
Taruhannya tinggi dan KJ mungkin perlu mengambil risiko besar, tetapi ganjarannya juga besar.
Jika berjaya, Khairy akan muncul sebagai pemimpin parti yang hampir tiada tandingan dan mungkin dapat merealisasikan impiannya untuk menerajui pentadbiran negara pada masa depan.
Ketika itu, beliau boleh berkata dengan yakin bahawa mandatnya benar-benar datang daripada rakyat.
Penulis ialah wartawan kanan di Meja Bahasa Inggeris FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.